Yuna, Qi retak?

Status laman sosial penyanyi mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna yang menampakkan diri bagai dirundung sedih, pantas menimbulkan persoalan apakah Yuna dilanda krisis bersama teman lelakinya, Qi Razali.

Selain itu, soal hubungan jarak jauh dengan komitmen Yuna dan Qi terhadap kerjaya masing-masing dilihat antara faktor yang mungkin memberi tekanan dalam menjalin kasih. Namun, ketika ditemui HIP, Qi pantas menyangkal tanggapan peminat yang menganggap percintaannya bersama Yuna bagai retak menanti belah.

Tegas pelakon dan pengacara ini, hubungannya dengan Yuna masih utuh.

“Pada 6 September lalu, kami bertemu untuk kali terakhir sebelum Yuna berangkat pulang ke AS. Kami masih bersama dan berhubung, tetapi tidak sekerap dulu kerana masing-masing sibuk.

“Agak susah untuk kami berkomunikasi.

Ini kerana Yuna terpaksa bangun awal pagi jika hendak bercakap dengan saya. Buat masa ini, biarlah dia capai dulu apa yang diimpikannya, begitu juga dengan saya,” katanya yang menggunakan Skype untuk berbual dengan teman wanitanya itu.
Bukan tidak mahu memikirkan soal jodoh, namun Qi ketika ini lebih menitikberatkan soal kerjaya. Baginya, dia mahu melihat buah hatinya menggapai impian di peringkat antarabangsa terlebih dulu.

Tak bincang soal jodoh

Tidak pernah berbicara soal jodoh, Qi dan Yuna masing-masing selesa memberi fokus kepada karier seni. Mereka enggan terburu-buru melangkah ke alam perkahwinan berikutan percintaan baru bertapak dua tahun.

Walaupun terpisah jauh, bagi pemuda berusia 35 tahun ini, dia tidak pernah menjadikan ia suatu halangan dalam bercinta. Malah, Qi ingin mengabadikan kisah cinta mereka dalam telefilem pertamanya nanti.

“Saya nak buat telefilem yang akan dibintangi saya dan Yuna. Tetapi perancangan akan direalisasikan selepas saya berjaya membintangi filem suatu hari nanti.

“Walaupun jauh, tetapi kami saling memberi sokongan. Paling membanggakan saya apabila Yuna dipuji Rihanna menerusi Twitter, baru-baru ini,” katanya.

Pendam rindu

Berasakan bakat kekasihnya itu kian berkembang di AS, Qi yang ditemui pada majlis Ulang Tahun ke-12 Red Communication Sdn Bhd, tidak mahu melakukan sesuatu yang boleh membantutkan cita-cita dan impian teman wanitanya itu.

Biarpun terpaksa memendam rindu, baginya, Yuna sangat memerlukan sokongannya untuk melangkah lebih jauh di persada muzik antarabangsa.

“Cinta jarak jauh memang mencabar.

Kami perlu banyak bersabar dan saling memahami. Saya juga tidak boleh berharap dia sentiasa ada masa lapang kerana perbezaan waktu membataskan perhubungan kami.

“Apa pun, saya berbangga melihat kejayaan Yuna dan soal kahwin terpaksa diketepikan dulu. Banyak lagi yang ingin saya terokai sebelum menempuh alam perkahwinan,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran program travelog berjudul Art Attack di Argentina selama dua bulan.