Tengku mahu Harimau Muda beraksi di Brazil

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) menganggap pelawaan yang diterima oleh skuad bawah 23 tahun (B-23) untuk beraksi dalam Liga Brazil adalah satu peluang keemasan yang tidak wajar dilepaskan begitu saja.

Katanya, tawaran itu adalah satu petanda baik dan FAM perlu memberi pertimbangan sewajarnya terhadap tawaran berkenaan tetapi ianya mesti dikaji dengan lebih teliti dan pemain perlu bersikap positif serta menampilkan keupayaan sebenar.

“Peluang seperti ini perlu dikaji lebih teliti, jangan cepat melompat dan pemain pun harus mempunyai sikap positif supaya peluang yang diberikan dapat digunakan sebaik mungkin.

“Bukan sahaja di Brazil, malah negara-negara lain juga akan menjemput kita bermain dari semasa ke semasa,” katanya kelmarin.

Skuad B-23 kendalian Ong Kim Swee dilaporkan berpeluang menyertai Liga Brazil sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Sea Myanmar tahun depan.

Bagaimanapun, tawaran itu masih dalam peringkat perbincangan malah FAM masih belum memberikan kata putus mengenainya.

Justeru, Tengku Abdullah menegaskan, FAM perlu mengkaji dengan lebih mendalam baik buruk tindakan itu sebelum memberikan persetujuan.

“Saya hendak nyatakan di sini, bukan saja Malaysia tetapi banyak juga negara-negara Asean dipelawa bermain di liga itu. Kalau kita tidak ambil perhatian kita akan kerugian,” katanya.

Selain dilihat sebagai satu pengiktitrafan, tawaran dikemukakan Brazil itu dianggap sebagai batu loncatan untuk terus meningkat dan muncul kembali sebagai salah satu daripada pasukan digeruni di rantau Asean.

Mengulas kekalahan 0-2 skuad senior kepada Vietnam dalam perlawanan persahabatan di Shah Alam, Selasa lalu, Tengku Abdullah berharap ia dijadikan satu pengajaran buat jurulatih dan pemain.

“Rajagopal sudah boleh mengenal pasti kelemahan dalam pasukan hasil kekalahan itu dan mengenal pasti pemain yang akan menganggotai skuadnya menghadapi Piala AFF Suzuki, November depan,” tegasnya.