T-Team mungkin dibubar, Sharbinee nafi jual perlawanan

KEMAMAN – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyokong penuh tindakan pengendali Terengganu, Peter James Butler yang mungkin akan menggugurkan penjaga gol Skuad Penyu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli daripada beraksi pada perlawanan akan datang, berikutan sikap kurang berdisiplin yang ditunjukkan.

Tegas beliau, Butler mempunyai alasan tertentu untuk berbuat demikian dan sebagai pemain pula, Sharbinee dan kesemua pemain Skuad Peteh seharusnya berdisiplin serta berintegriti tinggi.

Malah, Ahmad memberi amaran, tidak teragak-agak untuk mencari pemain baru yang berdisiplin dan berintegriti untuk membarisi Skuad Penyu pada musim akan datang (sekiranya pemain sedia ada tidak berubah).

“Pertukaran pemain adalah perkara biasa dalam perlawanan. Mesti ada sebab tertentu ketua jurulatih (Butler) berbuat demikian (menggantikan Sharbinee dengan penjaga gol simpanan pada pertengahan babak kedua perlawanan) sebab berlaku perkara sama (terlepas bola) seperti perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 ketika Terengganu menentang Negeri Sembilan.

“Sebab itu saya sokong Butler. Dia (Butler) buat keputusan kita terima. Kalau pemain rasa hebat dan besar kepala kita (Kerajaan Negeri) tidak akan bagi bantuan lagi (kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu),” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Wanita Umno Bahagian Kemaman, dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Butler yang disiarkan semalam mengenai kemungkinan Sharbinee disingkirkan, susulan persembahan kurang konsisten pada saingan Piala Malaysia ketika melayan kunjungan Kedah pada aksi Kumpulan B di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Bahkan, katanya, bagi pemain berintegriti tinggi dan berdisiplin, Kerajaan Negeri tidak keberatan untuk menaikkan gaji jika diminta kerana ia sebagai tanda penghormatan buat pemain yang bersikap sedemikian.

Mengenai penyingkiran dua lagi pemain Terengganu, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Ashari, Ahmad menganggap Butler mempunyai sebab tersendiri dan berhak membuat keputusan itu kerana dia merupakan ketua jurulatih Skuad Penyu.

Sementara itu, ditanya berhubung prestasi hambar yang ditunjukkan adik kepada Skuad Penyu T-Team, beliau membayangkan kemungkinan pasukan T-Team akan ‘terkubur’ pada musim depan.

“T-Team 100 peratus bergantung kepada Kerajaan Negeri dan kita melabur banyak untuk T-Team sehingga kini. Kemungkinan sudah tiada lagi T-Team pada tahun depan (jika kekalahan berterusan),” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ketua jurulatih T-Team, Yunus Alif melakukan sesuatu dan mengubah corak permainan agar kemenangan dapat diraih pada perlawanan akan datang.

Setelah mengharungi empat perlawanan dalam aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia, T-Team kini hanya berjaya mengumpul satu mata dengan mencatat keputusan seri satu perlawanan dan kalah tiga perlawanan serta menghuni tangga tercorot dalam kumpulan.

Sementara itu, Penjaga gawang pasukan Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli menafikan terlibat ‘menjual’ perlawanan ketika menentang Kedah Sabtu lalu dan bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan itu.

Kontroversi itu bermula apabila Sharbinee dikatakan menjadi sasaran kemarahan pengendali skuad Penyu, Peter Butler selepas penjaga gol itu melepaskan gol mudah ketika Terengganu mendahului Kedah 1-0 di laman sendiri  kelmarin.

Mohd Sharbinee berkata, dia sedia disiasat badan anti rasuah itu kerana dia tiada apa-apa yang hendak disembunyikan.

“Saya mahu membersihkan nama saya dan biar SPRM siasat, tuduhan ini amat menyedihkan apabila mereka melabelkan saya pemain yang mudah ‘dibeli’.

“Walhal saya tidak pernah melakukan perbuatan itu dalam mana-mana perlawanan sekalipun. Sekiranya saya ada melakukan kesilapan, saya rela ditegur atau dikritik, tetapi bukannya dengan cara sebegini,” katanya ketika ditemui di Jalan Sultan Zainal Abidin, dekat sini semalam.

Dalam pada itu, bekas penjaga gawang kebangsaan itu turut mengakui dia membuat kesilapan dalam perlawanan ketika menentang Kedah tempoh hari, dan tidak takut untuk mengaku kesalahan itu.

“Apabila berlaku perkara seperti ini (dituduh jual perlawanan), ia memberi tamparan hebat buat saya untuk berdepan dengan masyarakat, lebih-lebih lagi peminat bola sepak.

“Saya bersedia menerima kritikan terutamanya daripada jurulatih, tetapi bukannya dimalukan di hadapan peminat dalam stadium,” katanya.

Menurutnya, tindakan Peter Butler yang mengkritiknya di hadapan penonton menyebabkan dia hilang sabar dan bertindak membaling botol air ke arah jurulatih kelahiran England itu.

“Saya akui hilang sabar ketika itu, dia sepatutnya mengkritik saya dalam bilik persalinan dan saya sedia mendengar bukannya melemparkan kutukan pada saya dalam padang.

“Malah saya juga hairan dengan tindakan dia (Butler) kerana sebelum ini kami mempunyai hubungan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Sharbinee berkata, dia bersedia berundur jika perkhidmatannya tidak diperlukan lagi, tetapi bukan dengan cara sebegini, sambil menyangkal khabar angin mengatakan dia akan bersama pasukan Johor musim depan.

“Saya suka bermain untuk Terengganu tetapi jika saya perlu meninggalkan pasukan ini, maka saya tidak mahu untuk dengan cara seperti ini (rasuah).

“Mengenai khabar angin itu (beralih ke Johor), ia sama sekali tidak betul dan saya masih pemain Terengganu. Buat masa ini saya mahu menyelesaikan masalah yang berlaku dengan cara terbaik,” katanya.

Justeru, dia akan menunggu keputusan yang akan dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh sebelum membuat keputusan mengenai tindakan lanjut secara profesional.

Sebelum ini, dua lagi pemain Terengganu, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Ashari turut disingkirkan daripada pasukan Terengganu yang didakwa oleh bekas jurulatih Kelantan itu melanggar disiplin dengan membawa pulang wanita ke bilik penginapan, ketika menentang Kedah di Stadium Darul Aman minggu lalu.

Bagaimanapun, dua pemain ini tampil menyangkal dakwaan itu dan menuntut Peter Butler memohon maaf, namun bagi Mohd Sharbinee, dia tidak akan meminta Butler berbuat demikian.

“Jika dia merasakan dia seorang jurulatih profesional, maka dia akan melakukan perkara yang sepatutnya,” katanya.

Terengganu bakal kehilangan beberapa tonggak utama termasuk Mohd Sharbinee dalam saingan pusingan kedua Kumpulan B, Piala Malaysia ketika turun menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah esok (malam ini).

Selain itu, skuad Penyu juga tidak dapat menurunkan penyerang import Liberia, Francis Forkey Doe, kerana digantung satu perlawanan berikutan dilayangkan kad merah ketika menentang Kedah Sabtu lalu.