Shebby yakin Malaysia tetap pilihan AFF Cup

Bekas pemain kebangsaan Malaysia, Shebby Singh percaya Harimau Malaya kekal pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Suzuki tahun ini.

Juara bertahan Malaysia akan melalui jalan yang sukar selepas diundi bersama dengan Singapura dan Indonesia serta pasukan tempat kedua pusingan kelayakan.

Persediaan Harimau Malaya sedikit terganggu semalam apabila mereka tewas 2-0 kepada Vietnam di Stadium Shah Alam.

Walaubagaimanapun, Shebby percaya Malaysia masih lagi pilihan untuk Piala Suzuki, terutama sekali kerana perkembangan pemain telah dilakukan di peringkat awal selepas memenangi emas di Sukan SEA.
“Saya yakin Malaysia akan memulakan saingan sebagai pasukan pilihan dan bukan sahaja kerana kita adalah juara bertahan,” kata Shebby kepada ESPNSTAR.my dalam temu bual eksklusif.

“Saya rasa apa yang penting adalah apabila kami memenangi pingat emas dalam Sukan SEA 2009 dan itu merupakan anjakan bagi kemenangan Piala Suzuki 2010. Dan selepas itu kita berjaya mempertahankan pingat emas pada 2011.

“Terdapat tanda bola sepak Malaysia sedang menuju ke arah yang betul. Peningkatan dapat dilihat.”
Bekas pemain pertahanan Kuala Lumpur itu juga percaya kejayaan Rajagobal juga banyak dibantu oleh perkembangan pemain di peringkat remaja.

“Bagi saya, kini terdapat persaingan untuk mendpaatkan tempat dalam pasukan kebangsaan.

“Saya sangat percaya kini terdapat 15 atau 16 pemain di Malaysia yang mampu beraksi di rantau ini.
“Terdapat perkembangan dari Harimau Muda ke pasukan kebangsaan. Ong Kim Swee telah melakukan yang terbaik untuk menyokong Rajagobal.

“Para pemain datang dari Sekolah Sukan Bukit Jalil. Ini yang menyebabkan Malaysia menjadi pasukan pilihan – kekuatan secara mendalam dan pengalaman yang ditimba adalah faktor yang sangat penting.” – espnstar