Sagna bidas Arsene Wenger

LONDON – Tonggak pertahanan kanan Arsenal, Bacary Sagna membidas pengurusnya, Arsene Wenger serta pihak pengurusan The Gunners ekoran gagal mengekalkan bintang-bintang kelab itu.

Kenyataan Sagna itu juga membayangkan dia bakal mengikuti jejak bekas kapten Arsenal, Robin van Persie dan Alex Song pada musim panas ini.

Van Persie telah memilih untuk beraksi bersama musuh ketat The Gunners, Manchester United sementara Song menyertai kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Van Persie menyertai United dengan yuran perpindahan £22 juta (RM109 juta) manakala Song berhijrah secara mengejut ke Barcelona dengan nilai £15 juta (RM74 juta).

Sagna mengakui, dia cemburu melihat bekas-bekas pemain Arsenal seperti Samir Nasri dan Gael Clichy yang berjaya membantu Manchester City menjulang gelaran juara Liga Perdana England pada musim lalu.

Sebaliknya, pemain antarabangsa Perancis berusia 29 tahun itu masih gagal memenangi kejuaraan pertama bersama Arsenal selepas lima tahun menyertai kelab yang berpangkalan di London itu.

“Saya merupakan pemain terakhir (yang masih belum berhijrah) dalam kesebelasan utama daripada skuad 2007.

“Pada Mei lalu, saya telah menyaksikan City menikmati musim gemilang. Saya juga menyaksikan Nasri dan Clichy menjulang trofi liga.

“Situasi itu memberikan saya keinginan untuk menjulang kejuaraan dan saya amat mahukannya.

“Adakah mereka (Nasri dan Clinchy) berhak untuk meninggalkan pasukan ini? Ya, mereka berhak,” tegas Sagna.

Menurut Sagna, kehilangan pemain berstatus bintang telah menyulitkan lagi peluang Arsenal bagi memburu mahkota kejuaraan.

“Saya telah menjangkakan penghijrahan van Persie. Semua pihak sudah mengetahui perkara itu.

“Namun, dalam kes Song, jelas ia agak memeranjatkan. Dia berusia 24 tahun dan masih memiliki baki kontrak selama tiga tahun bersama kelab.

“Saya masih tidak mengerti. Ia merupakan satu kerugian besar buat Arsenal. Apabila kamu melihat dua pemain penting meninggalkan kelab ini, ia jelas menimbulkan banyak persoalan,” tambahnya. – Agensi