Ronaldo kekal komited dengan Real

Cristiano Ronaldo menyangkal tuduhan yang mengatakan beliau ‘sedih’ di Real Madrid adalah satu helahnya untuk mendapatkan lebih banyak wang daripada kelab itu.

Dalam kenyataan di BBC, Ronaldo berkata: “Saya kecewa kerana masalah profesional, dan bukannya kerana ingin mendapatkan wang lebih banyak dengan Real Madrid.” “Apa perasaan saya apabila dituduh begitu. Lagipun kelab tahu mengapa saya sedih.

“Dan, saya ingin tegaskan bukan kerana wang, saya sedih,” kata Ronaldo.

Tambah Ronaldo: “Kesedihan saya juga tiada kena-mengena dengan Andres Iniesta yang memenangi anugerah Pemain Terbaik di Eropah baru-baru ini.”

“Ia langsung tidak menjejaskan. Saya harap peminat faham dan jangan membuat spekulasi yang tidak masuk akal.

“Lagipun, terdapat perkara yang lebih penting untuk difikirkan daripada hal ini,” jelasnya lagi.

Semalam, penyerang berusia 27 tahun itu membuat pengakuan tergempar kepada media antarabangsa apabila menyatakan dirinya “sedih” di Real Madrid.

Dia yang menjaringkan gol kemenangan 3-0 Real ke atas Granada, yang merupakan gol ke-150 bersama kelab itu tetapi enggan meraikan kejayaan itu.

Dengan situasi tersebut, banyak akhbar menuduh beliau cuba untuk meminta kenaikan bayaran daripada kelab tersebut.

Sementara itu, rakan sepasukannya dan juga bekas pemain Liverpool, Alvaro Arbeloa berkata, dia akan sentiasa memberikan sokongan kepada kawannya itu.

“Jika Ronaldo sedih dan memerlukan sokongan rakan sepasukan, sudah tentu kami akan memberikannya.

“Dalam Real Madrid, kami adalah sekeluarga. Apabila seseorang ahli tidak gembira, kami harus membantunya.

“Senang mahupun susah, kami akan bersama dan saling membantu,” katanya.