Robin van Persie sedia bertemu Wigan

MANCHESTER – Manchester United boleh menarik nafas lega apabila penyerang sensasi, Robin van Persie pulih daripada masalah kecederaan menjelang pertembungan menentang Wigan Athletic malam ini.

Van Persie yang mempamerkan aksi cemerlang selepas meledak empat gol untuk United pada musim ini, ditimpa kecederaan pangkal paha ketika membantu Belanda menewaskan Turki 4-1 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2014 baru-baru ini.

Namun, tahap kecergasan van Persie masih menjadi tanda tanya menjelang aksi Liga Perdana England di Old Trafford itu nanti.

Begitupun, bekas penjaga gol United, Peter Schmeichel yakin bahawa van Persie masih mampu memberikan aksi terbaik ketika menentang Wigan.

“Perkara paling penting adalah van Persie memilih kami (United),” kata Schmeichel.

“Dia mahu menyertai kami dan tidak menjadi satu persoalan mengapa kami perlu membayar lebih berbanding Manchester City atau dari mana-mana kelab.

“Dia mahu beraksi bersama United dan itulah perkara paling penting bagi saya.

“Van Persie merupakan pemain sangat sesuai buat United. Kami telah membawa pemain yang sebenar untuk pasukan ini.”

Sementara itu, pemain tengah United, Anderson percaya van Persie serta bintang baharu, Shinji Kagawa bakal membuat satu perubahan dalam skuad The Red Devils musim ini.

“Saya melihat pasukan ini bertambah baik. Pada awal musim ini, ia tampak sukar (untuk mereka menyesuaikan diri) tetapi kami berjaya memperoleh dua kemenangan dan kami mahukan lagi kemenangan.

“Kagawa dan van Persie merupakan pemain yang sangat berkualiti. Kehadiran mereka memudahkan kami kerana mereka sangat berbakat.

“Kehadiran mereka juga dapat membakar semangat pemain untuk bersaing mendapatkan tempat dalam skuad utama,” kata Anderson. – AFP