Rajagobal tak gusar aksi hambar

JIKA sebelum ini Harimau Malaya lena diulit kejayaan merangkul Piala Suzuki AFF dua tahun lalu, kini mereka perlu bangkit daripada lamunan itu.

Kekalahan 0-2 di tangan Vietnam dalam aksi persahabatan antarabangsa kelmarin menceritakan betapa masih ada kelemahan yang perlu diatasi ketika anak buah Datuk K Rajagobal kesuntukan masa sebelum sepak mula Piala AFF November ini.

Ketika peminat tempatan menggelengkan kepala, pengendali negara itu tetap tenang menyaksikan rekod 10 perlawanan antarabangsa kelas A di laman sendiri sejak 2009 lebur.

Kekalahan itu juga menyekat hasrat memperbaiki ranking negara di tangga ke-156 dunia jika berjaya menewaskan Vietnam (146).

“Kami memang mahu menang tapi perlu terima kekalahan ini. “Ini satu pengajaran berguna kepada pemain kerana mereka perlu sedar kejohanan (Piala AFF) kali ini lebih sukar.

“Tidak ada apa perlu dibimbangkan, saya kenal pemain saya. Kami pernah kalah besar tapi kemudian muncul juara Piala AFF. “Saya tak risau kerana yakin pemain akan berada di kemuncak prestasi apabila kejohanan bermula,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Dengan merehatkan beberapa tonggak utama bagi menguji pemain seperti Christie Jayaselan, Mohd Zaquan Adha Abd Razak dan Mohd Faizal Muhammad, skuad kebangsaan nyata tenggelam terutama di awal permainan sedangkan Vietnam lebih mendominasi permainan menerusi corak hantaran pendek serta pantas.

Vietnam, juara Piala AFF 2008, mendahului 1-0 pada minit ke-33 menerusi jaringan Le Cong Vinh sebelum Phan Thanh Hung melebarkan kedudukan seawal babak kedua.

Rajagobal yang memuji kebangkitan ditunjukkan anak buahnya khususnya pada 20 minit terakhir permainan bagaimanapun mengaku harus mencari formula terbaik di bahagian tengah dan serangan.

“Kelemahan mungkin di bahagian tengah dan pertahanan tapi saya lebih memikirkan mengenai cara memantapkan penyudah pemain tengah dan penyerang. Kami masih mempunyai masa memperbaiki kelemahan ini sebelum kejohanan bermula.” Harimau Malaya mempunyai tiga lagi perlawanan ujian menentang Hong Kong secara timbal balik dan Vietnam sekali lagi di Hanoi sebelum membuka kempen mempertahankan Piala AFF di laman sendiri.

Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Singapura serta satu pasukan dari pusingan kelayakan.