Rajagobal akan beraksi di Piala Sultan Selangor

Edisi ke-11 Piala Sultan Selangor akan diadakan di Stadium Shah Alam pada 29 September dengan pasukan veteran dan pasukan pilihan Liga Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa penganjur, Dato’ Abdul Karim Munisar hadir di Stadium Jalan Besar pada hari Rabu untuk memberi 1,000 tiket percuma kepada wakil kelab penyokong S.League.

Kejuaraan itu, yang telah diilhamkan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah, melibatkan empat pasukan dalam dua perlawanan.

Pasukan veteran Singapura, yang akan dibintangi oleh bekas pemain kebangsaan negara seperti Malek Awab, Steven Tan dan jurulatih LIONSXII V. Sundramoorthy, akan menentang pasukan veteran Selangor yang dibintangi oleh Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, dan jurulatih Harimau Malaya Datuk K. Rajagopal.

Walaupun tidak dapat beraksi dengan bekas pasukannya kebelakangan ini akibat tanggungjawab dengan pasukan negara, beliau amat teruja dan berkata: “Saya adalah pemain setia Selangor dan akan hadir jika diperlukan.”

“Saya amat bangga dapat peluang untuk kembali beraksi dengan bekas pasukan saya dan untuk berhadapan dengan para penyokong Selangor.”

Acara utama pula akan menyaksikan pasukan pilihan Liga Singapura menentang pasukan pilihan Selangor yang akan diperkukuhkan oleh Safee Sali dan penyerang PKNS Michaël Niçoise.

Tahun lalu, Singapura menang hasil gol sendiri Asraruddin Putra pada minit ke 66 sementara pasukan veteran Selangor benam pasukan veteran Singapura 3-1.

Piala Sultan Selangor 2012 akan berlangsung pada hari Sabtu, 29 September, pada jam 8 malam.

,