Piala SCTV: Medan uji skuad Harimau Muda

TIADA sasaran khusus ditetapkan pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee (gambar kecil) menjelang kejohanan jemputan Piala SCTV yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, Ahad ini.

Sebaliknya, pengendali berusia 42 tahun itu mahu meman- faatkan peluang menguji ‘ketahanan mental’ barisan pemain mudanya ketika dijadualkan berdepan skuad bawah 22 tahun (B-22) Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno kelak.

Biarpun majoriti anak-anak buah beliau telah pun menyelami ‘gelora’ beraksi di stadium keramat itu termasuk menaiki ‘Barracuda’ semasa mempertahankan emas temasya Sukan SEA tahun lalu, Kim Swee menyifatkan pengalaman sekali lagi beraksi di stadium berkenaan tidak wajar dilepaskan sebegitu sahaja.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan itu nanti, cuma saya mahu menilai mana-mana pemain baharu yang tidak tersenarai dalam skuad Sukan SEA sebelum ini sama ada mereka mampu beraksi di bawah teka- nan di depan ribuan penyokong lawan ataupun tidak.

“Kejohanan ini merupakan sebahagian daripada perancangan awal mempertahankan emas Sukan SEA 2013 di Myanmar, jadi sudah tentu saya harap pemain-pemain saya dapat meraih pengalaman berguna beraksi di Gelora Bung Karno nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada kejohanan itu nanti, aksi skuad Harimau Muda dengan B-22 Indonesia dijadualkan bermula pukul 7.30 malam (8.30 malam waktu Malaysia).

Ia merupakan aksi tunggal anak-anak buah Kim Swee pada kejohanan itu, dan mereka dijangka ‘terbang’ ke Indonesia esok.

Selain perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan, satu lagi aksi melibatkan antara skuad kebangsaan Indonesia dan Korea Utara juga dijadualkan berlangsung di stadium yang sama sehari kemudian.

Mengulas lanjut, Kim Swee menjelaskan bahawa ketiadaan beberapa pemain Harimau Muda seperti Mahalli Jasuli, Mohd. Fadhli Mohd. Shas, Gary Steven Robbat dan Wan Zack Haikal Wan Noor yang dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan menjelang aksi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Vietnam di Stadium Shah Alam pada 11 September ini juga memberikan peluang kepada beliau menguji beberapa pemain selain daripada skuad Harimau Muda.

Antara yang mendapat kepercayaan beliau mengharungi Piala SCTV nanti termasuklah peledak berbisa Sabah, Rozaimi Abdul Rahman, Nik Mohd. Shahrul Azim (Kelantan).

K. Reuben (Angkatan Tentera Malaysia), Saiful Izuan (UiTM) dan dua pemain PKNS, Aminuddin Mohd. Nor dan Azrif Nasrulhaq.

“Saya harap pemain dapat mengekalkan momentum sebelum kembali menyambung aksi Liga Singapura (Liga S) selepas ini,” kata- nya.

Skuad Harimau Muda yang kini di tangga keempat Liga S dengan 32 mata selepas 17 perlawanan hanya akan kembali meneruskan perjuangan menentang pasukan di tangga kelima liga, Home United di Stadium Yishun, Singapura pada 15 September ini.

Kesibukan jadual Harimau Muda juga tidak berakhir di situ sahaja apabila mereka bakal menyertai satu lagi kejohanan jemputan iaitu Newspaper Cup di Vietnam pada Oktober depan.