Peter Butler siapkan peguam

Jurulatih Terengganu, Peter Butler yang digantung selama enam bulan bermula semalam berkata beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan.

Jurulatih berusia 46 tahun itu memberitahu bahawa beliau hanya mengetahui tentang penggantungan itu serta denda RM4,000 dan pemotongan gaji bulan hadapan sebanyak 15 peratus daripada laporan akhbar.

“Saya masih belum terima sebarang surat rasmi dari Terengganu FA. Oleh itu saya tidak boleh melakukan apa-apa.

“Tetapi walaupun saya menerima semuanya bertulis dari persatuan, saya rasa saya akan tetap kekal di sini,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa sesetengah pihak mungkin mahukannya kecewa dengan hukuman dan seterusnya meletakkan jawatan.

“Itu bukan saya dan saya seorang yang mempunyai prinsip dan itu cara saya dalam semua kerja saya.

“Saya juga komited dengan apa yang saya lakukan dan saya gemar menjadi jurulatih.”

Butler yang masih mempunyai 15 bulan tinggal dalam kontraknya akur dengan keputusan yang dibuat oleh persatuan.

“Saya tiada pilihan lain melainkan berbincang dengan peguam saya apabila saya terima surat rasmi tetapi itu tidak bermakna saya akan tinggalkan Terengganu.

“Saya ke sini untuk menjalankan tugas dan saya tidak akan pergi selagi kerja saya belum selesai,” kata Butler yang turut akui apa yang dilakukannya sejak berada di Terengganu adalah untuk kebaikan bola sepak Terengganu.