Peteh desak PBSNT bertindak tegas

KELAB Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) mendesak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengambil tindakan tegas terhadap pemain yang ‘khianat’ kepada pasukan.

Setiausahanya, Wan Mohd. Azmi Wan Ngah berkata, ia termasuk menyingkir mana-mana pemain yang tidak berdisiplin dan setia.

“Kita desak PBNST tidak perlu lagi menyimpan pemain seumpama ini kerana pasukan Terengganu akan lebih teruk sekiranya semakin lama pemain sedemikian disimpan,” katanya semalam.

Beliau berkata, pemain yang tidak jujur bukan sahaja memalukan rakan-rakan sepasukan mereka, malah juga merosak reputasi kerajaan negeri yang begitu komited dengan pembentukan kecemerlangan pasukan Terengganu.

Pada masa yang sama, Peteh mahu pihak jurulatih atau pegawai PBSNT tidak sewenang-wenang membuat kenyataan berunsur negatif mengenai pasukan kepada media.

Ketika ini, Terengganu dilanda pelbagai kontroversi sehingga mengundang keresahan dalam kalangan penyokong setia skuad Peteh itu.

Antara kontroversi yang mencuri tumpuan ialah polemik antara jurulatih, Peter James Butler dengan para pemainnya.

Selepas membuat keputusan mengejut menyingkirkan dua tonggak utamanya, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi atas alasan masalah disiplin, Butler sekali lagi dihimpit kontroversi apabila ‘bertikam lidah’ dengan penjaga gol, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.

Insiden itu berlaku ketika Terengganu menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Sabtu lalu.