Perlu jadi isteri bomoh 100 hari untuk berubat

SEREMBAN: Jika mahu sembuh, kena jadi isterinya selama 100 hari.

Itu syarat ditetapkan seorang bomoh yang mendakwa mampu menyelesaikan masalah dihadapi wanita termasuk tidak boleh mengandung, kemurungan dan krisis rumah tangga.

Lelaki berusia 48 tahun dan berstatus penduduk tetap warga Thailand itu juga dipercayai terbabit dalam kegiatan nikah batin dengan menikahkan dirinya sendiri apabila dia menjadi kadi serta saksi selain mengambil upah RM200 daripada mangsa.

Malah, bomoh yang sudah beristeri itu juga bijak menjerat pasangan bermasalah untuk mendapatkan khidmatnya selain menawarkan diri berkunjung ke rumah pesakit bagi memberikan rawatan.

Berbekalkan mulut manis dan perwatakan alim serta menggunakan ayat suci al-Quran, bomoh dikenali sebagai ‘Abang Som’ itu dikesan menjalankan kegiatan songsang berkenaan sejak sebulan lalu dan sudah memerangkap empat mangsa di seluruh negara.