Perjuangan Harimau Muda belum selesai – OKS

BENAR kata orang, ‘robot’ pun boleh kehabisan bateri jika ‘dilenjan’ habis-habisan.

Apa tidaknya, kesukaran mengharungi jadual yang padat dilihat mula mendatangkan kesan buat skuad Harimau Muda apabila tumpas 0-3 kepada Home United dalam aksi Liga Singapura (Liga S) 2012, Sabtu lalu.

Selepas menewaskan skuad muda Indonesia pada Kejohanan Piala SCTV dua minggu lalu, kesibukan skuad kendalian Ong Kim Swee yang ‘terbang’ ke luar negara seminggu sekali pastinya cukup memenatkan.

Bayangan awal bakal ‘berguru’ di Brazil sebagai persiapan awal mempertahankan emas temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar juga menerbitkan spekulasi negatif dalam kalangan peminat bola sepak tempatan betapa aksi Harimau Muda dalam baki saingan Liga S selepas ini sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ semata-mata.

Begitupun, Kim Swee pantas menyangkal dakwaan itu sambil menegaskan bahawa misi pasukannya muncul sebagai lima pasukan terbaik Liga S musim ini masih belum ternoktah.

“Perjuangan kami belum selesai dalam Liga S, selagi saingan belum tamat selagi itulah Harimau Muda komited dalam setiap baki perlawanan selepas ini,” tegas Kim Swee kepada Kosmo!

Selepas berdepan Woodlands Wellington Sabtu ini, Harimau Muda yang kini di tangga kelima Liga S dengan 32 mata akan melayan kunjungan Balestier Khalsa (27 September) dan Gombak United (30 September) di Stadium Yishun.

Bagi aksi sepanjang Oktober pula, Harimau Muda akan membuat perhitungan dengan Hougang United di tempat lawan (20 Oktober) sebelum melayan kunjungan Geylang United empat hari kemudian.

Mereka akan menutup tirai Liga S berdepan pendahulu liga, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar pada 1 November depan.

Mengenai pertemuan berdepan Wellington Sabtu ini, jelas Kim Swee, beliau masih belum membuat keputusan mengenai kesebelasan utama yang bakal dipertaruhkan beliau bagi memburu tiga mata berharga.

Ia ekoran enam tonggak Harimau Muda iaitu Mahalli Jasuli, Mohd. Fadhli Mohd. Shas, Mohd. Irfan Fazail, Mohd. Izham Tarmizi Roslan, Gary Steven Robbat dan Wan Zack Haikal Wan Nor dipanggil menyertai latihan bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM bermula semalam.

“Keenam-enam pemain tersebut hanya kembali menyertai kami sehari sebelum perlawanan (Jumaat), jadi saya masih belum boleh membuat sebarang keputusan siapa yang akan diturunkan,” katanya.