Perak rombak barisan pemain

Sebahagian besar pemain berkenaan dijangka disingkirkan daripada skuad Seladang kerana faktor prestasi rendah dan tiada komitmen tinggi.

Pengurus Pasukan Perak, Khairul Azwan Harun enggan mendedahkan nama-nama pemain berkenaan tetapi mereka sudah dikenalpasti.

“Nama-nama pemain yang akan disingkirkan itu akan dikemukakan oleh pihak pengurusan Seladang kepada Majlis Persatuan Bolasepak Perak ( Pafa ) untuk keputusan muktamad,” jelas Azwan di Ipoh semalam.

Pengurus Pasukan memberitahu bahawa hanya Majlis Pafa yang akan membuat keputusan muktamad penyikingiran itu berdasarkan laporan daripada pihak pengurusan skuad Seladang.

“Kita jangkakan antara 12 atau 13 pemain atau 50 peratus yang disenaraikan Piala Malaysia 2012 akan diketepikan bagi digantikan dengan muka-muka baru,” katanya.

Selain itu katanya, prestasi dua pemain import, Michal Kubala dan Albert Bodjongo akan dinilai semula.
“Jika Majlis Pafa tidak berpuas hati dengan komitmen dan prestasi Kubala dan Bodjongo, kita terpaksa mencari pemain import baru pada musim akan datang,” tambah Azwan.

Kontrak kedua-dua pemain import itu akan tamat pada akhir bulan Oktober ini.

Pengurus Pasukan itu memberitahu Perak sudah mengenalpasti beberapa nama besar daripada pasukan ternama untuk dipancing bagi mengisi kekosongan tersebut.

“Kita sudah memulakan perbincangan awal dengan mereka yang mana beberapa pemain berkenaan bersetuju untuk beraksi dengan skuad Seladang,” kata Azwan yang enggan mendedahkan nama barisan pemain berkenaan.

Beliau berkata, Perak perlu darah dan semangat baru bagi melonjakkan prestasi skuad Seladang pada musim depan.

Namun begitu beliau tetap berpuas hati dengan pencapaian skuad Seladang yang menduduki tangga keempat Liga Super musim ini.

Skuad Seladang itu berjaya memperolehi 13 kemenangan, seri tiga perlawanan dan kalah sepuluh perlawanan.

“Ini merupakan salah satu pencapaian terbaik Perak walaupun ketiadaan nama-nama besar bola sepak negara berbanding Kelantan, Selangor dan sebagainya” ujar Azwan.

Mengenai kedudukan ketua jurulatih, Jang Jung yang akan tamat kontraknya pada akhir bulan Oktober ini, Pengurus Pasukan itu berkata, Majlis Pafa akan menentukannya.