Osama ditembak mati kerana wujudnya ancaman: SEAL

WASHINGTON: Bekas anggota pasukan keselamatan operasi khas Amerika Syarikat (AS), SEAL, Matt Bissonnette berkata, komando tentera laut AS yang menyerbu lokasi penyembunyian Osama bin Laden di Pakistan mengambil keputusan tidak menangkap pemimpin Al-Qaeda itu hidup-hidup, sebaliknya menembak mati kerana bimbang tangannya tersembunyi berkemungkinan sedang memegang senjata serta wujudnya ancaman.

Beliau yang ditemuramah menerusi program televisyen AS, CBS “60 minutes”, berkata seorang anggota SEAL melepaskan tembakan selepas melihat kepala seorang lelaki di lorong ruang tamu rumah itu.

Bissonnette berkata, beliau dan seorang anggota SEAL sekali lagi melepaskan tembakan ke arah Osama selepas menemuinya di lantai bilik tidur, di mana sebutir peluru terkena pada bahagian kepalanya.
Sementara itu, pegawai kanan Pentagon berkata, tembakan hanya dilepaskan ke arah Osama selepas dia melarikan diri ke bilik tidur.

Beliau berkata, pihaknya turut mengancam akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Bissonnette atas kesalahan kemungkinan mendedahkan maklumat sulit. – AP