OKS mahu FAM selidiki tawaran dari Brazil

TAWARAN oleh sebuah kelab Brazil kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menempatkan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dalam salah satu liga di negara itu masih belum konkrit dan jurulatih Ong Kim Swee berharap perkara itu dapat diputuskan selewat-lewatnya penghujung November ini.

Menurut pengendali skuad muda negara itu, bagi mendapatkan kesahihan beliau perlu berbincang dengan pihak kelab berkenaan dan melihat sendiri perjalanan liga yang ditawarkan di sana jika mendapat kelulusan awal FAM.

“Kita kena teliti dulu tawaran itu, kalau boleh kita akan ke sana dan melihat kemudahan yang disediakan. Setakat ini kita tidak tahu kita akan beraksi dalam liga mana. Tidak ada gunanya kita menghabiskan masa selama enam hingga tujuh bulan jika kita tidak mendapat perlawanan yang bagus.

“Kita juga kena ambil kira segala kos, termasuk jarak perjalanan apabila kita menghadapi sesuatu perlawanan yang mungkin agak tinggi,” katanya kepada Arena Metro.

Cadangan untuk memberikan pendedahan di Brazil kepada skuad B-23 sebagai persiapan mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar tahun depan mendapat maklum balas positif FAM dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini.

Bagaimanapun Timbalan Presiden badan induk bola sepak tanah air itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan supaya pihak pengurusan tidak membuat keputusan terburu-buru bagi mengelakkan kerugian.

Kim Swee berkata, Brazil bukanlah satu-satunya destinasi pilihan memandangkan Slovakia yang menjadi pangkalan mereka sebelum ini turut berada dalam perancangan.

“Kita kena buat keputusan cepat mengenai tawaran Brazil kerana Slovakia sedang menunggu perancangan kita. Mereka (Slovakia) mahukan pengesahan awal untuk menyenaraikan kita dalam liga mereka Mac tahun depan. Kalendar Fifa sudah keluar, kalau kita berada di Eropah, kita boleh membuat perancangan awal untuk mengadakan perlawanan dengan skuad kebangsaan negara di sana” jelasnya.

Ketika ditanya adakah beliau tidak berminat untuk memberi pendedahan kepada pemain di negara Asia seperti di Jepun atau Korea Selatan, Kim Swee berkata, ia membabitkan perbelanjaan lebih besar.

“Mereka tidak mudah untuk menerima pasukan kita. Seperti Jepun, mereka sudah merancang liga mereka untuk 10 tahun akan datang. Mereka sudah pasti tidak akan memberi kita tempat dalam liga satu, dua atau tiga. Kos di Jepun juga mahal,” katanya.