OKS beri amaran pada Harimau Muda

JANGAN ulangi kesilapan yang sama.

Itu mesej positif pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee kepada anak-anak buahnya menjelang pertemuan menentang Woodlands Wellington dalam aksi Liga Singapura (Liga S) di Stadium Yishun malam ini.

Menurut beliau, beberapa kelemahan seperti gagal menyerap asakan pantas serta kehilangan fokus ketika berdepan set piece lawan seperti mana ketika tewas kepada Home United 0-3 minggu lalu wajar diatasi segera.

“Ketika berdepan Home United (tempoh hari), keghairahan menyerang habis-habisan gara-gara ketinggalan akhirnya dihukum dengan serangan pantas skuad lawan.

“Kami juga gagal menyaingi pemain lawan ketika set piece termasuk sepakan penjuru.

“Jadi, ia tidak harus diulangi ketika menentang Wellington jika kami mahu terus bersaing sehingga penghujung saingan Liga S,” kata Kim Swee kepada Kosmo! baru-baru ini.

Harimau Muda kini di tangga keenam liga apabila mengutip 32 mata daripada 18 perlawanan, jauh di depan Wellington yang terperosok di tangga tercorot kumpulan apabila sekadar meraih 10 mata setakat ini.

Selepas berdepan Wellington, Harimau Muda akan melayan kunjungan Balestier Khalsa (27 September) dan Gombak United (30 September) di Stadium Yishun.

Bagi aksi sepanjang Oktober pula, Hari- mau Muda akan membuat perhitungan dengan Hougang United di tempat lawan (20 Oktober) sebelum melayan kunjungan Geylang United empat hari kemudian.

Mereka akan menutup tirai Liga S berdepan pendahulu liga, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar pada 1 November depan.

Malam ini, skuad Kim Swee kembali diperkuatkan dengan kehadiran enam pemain iaitu Mahalli Jasuli, Mohd. Fadhli Mohd. Shas, Mohd. Irfan Fazail, Mohd. Izham Tarmizi Roslan, Gary Steven Robbat dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang baharu sahaja selesai menjalani latihan bersama skuad kebangsaan semalam.