Messi ratah Paraguay

CORDOBA (Argentina): Lionel Messi membuktikan dirinya sukar dihalang ketika membantu Argentina meraih kemenangan keenam berturut-turut dengan mengetepikan Paraguay, 3-1 untuk mendahului pencabar lain dalam kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan, semalam.

Kemenangan itu membantu Argentina, antara pasukan pilihan menjuarai Piala Dunia Brazil 2014, mengambil alih teraju pusingan kelayakan dari Uruguay.

Argentina turut mengakhiri penantian 39 tahun untuk kemenangan di laman sendiri ke atas Paraguay dalam kelayakan Piala Dunia dan meletakkan lawan mereka di tempat tercorot kumpulan.

Messi hampir menjaringkan hatrik ketiga dalam lima perlawanan antarabangsa tapi cubaannya terkena palang dua kali dan gol tunggal dijaringkan membolehkannya mengumpul 10 gol dalam enam perlawanan termasuk aksi persahabatan.

“Ia sungguh indah. Memang menakjubkan apabila penyokong benar-benar sukakan anda,” kata Messi.

Messi berjaya membantu rakan sepasukannya beraksi cemerlang pada perlawanan itu dengan Angel Di Maria dan Gonzalo Higuain menjaringkan gol. Kehilangan Sergio Aguero, yang sentiasa dilihat sebagai gandingan serasi Messi, tidak langsung dirasai.

“ Kami terus bertahan dan tidak mahu pemain berubah daripada terlalu hebat kepada terlalu teruk. Messi kelihatan gembira dan menunjukkan perasaan itu di padang,” kata jurulatih Argentina, Alejandro Sabella.

Kumpulan terdiri daripada sembilan pasukan, tidak termasuk Brazil yang layak automatik selaku tuan rumah boleh dibahagikan kepada dua kumpulan. Empat pasukan teratas layak automatik ke Brazil manakala pasukan di tangga kelima mempunyai peluang 50-50 menerusi perlawanan play-off menentang pasukan Asia dan empat pasukan tercorot tersingkir.

Colombia yang bermain di bawah tahap sebenar pada awal kempen dan menyebabkan penyingkiran jurulatih Leonel Alvarez, 10 bulan lalu melonjak ke tangga kelima selepas membelasah Uruguay, 4-0 di Barranquilla.

“Kami tidak boleh hilang fokus dalam kempen ini,” kata jurulatih Colombia dari Argentina, Jose Pekerman selepas pasukannya mencatat kemenangan luar biasa sebaik penyerang berbisa, Radamel Falcao menjaringkan gol awal.

“Kemenangan ke atas antara pasukan terbaik dunia yang tidak tewas 18 perlawanan amat penting dan kami perlu meneruskannya,” katanya. – Reuters

Highlight