Malam penentuan ke suku akhir

SAINGAN peringkat kumpulan kempen Piala Malaysia 2012 sudah pun memasuki episod terakhir malam ini.

Justeru, beberapa pasukan dilihat berdepan misi ‘hidup dan mati’ bagi menentukan pasukan mana yang berhak menyambar slot ke suku akhir.

Dalam aksi Kumpulan A, saingan tiga penjuru membabitkan Lions XII dan pasukan ‘adik-beradik’, Johor serta Johor FC dilihat masih terbuka dalam usaha mara ke peringkat seterusnya.

Malam ini, Lions XII yang dikendalikan V. Sundramoorthy bakal melayan kunjungan Sang Lebah dan pertembungan dijangka sengit apabila kedua-dua pasukan kini berkongsi lapan mata.

Hasrat Sang Jengking juga masih belum terkubur apabila mengutip lima mata setakat ini, dan jika menang ke atas PKNS malam ini tidak mustahil mereka mampu ke suku akhir dengan syarat Johor FC teruk ‘dikerjakan’ Sang Singa di Stadium Jalan Besar malam ini.

Untuk rekod, mana-mana pasukan daripada Kumpulan A yang mara ke suku akhir nanti dijangka berdepan Selangor dan Pahang yang ketika ini selesa menerajui Kumpulan D.

Dalam pada itu, saingan ‘kumpulan maut’ juga tidak kurang hebat apabila juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan yang kini mengutip lapan mata pastinya mahu membelasah Terengganu di Stadium Muhammed IV, Kota Bharu untuk muncul juara Kumpulan B.

Sudah tentu anak-anak buah Bojan Hodak tidak mahu sekadar muncul naib juara kumpulan lantaran juara bertahan, Negeri Sembilan yang dijangka muncul juara Kumpulan C akan menanti mereka di suku akhir nanti.

Ia begitupun tidak semudah dijangka memandangkan juara Liga Premier, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini selesa mengutip 10 mata dijangka tidak berdepan masalah mengatasi cabaran Kedah dalam satu lagi aksi kumpulan malam ini.

Jika muncul juara kumpulan, ATM dijangka berdepan cabaran dua pasukan berstatus kelab, Felda United dan Sime Darby yang ketika ini memiliki peluang sama rata dalam Kumpulan C apabila berkongsi enam mata.

Dalam aksi Kumpulan C malam ini, Sang Rusa bakal melayan kunjungan Felda United manakala Sime Darby berkunjung ke Ipoh berdepan Perak yang begitupun sudah boleh mengucapkan ‘selamat tinggal’ dalam kempen kali ini apabila sekadar menghuni tangga tercorot kumpulan dengan tiga mata.

Bagi saingan Kumpulan D pula, juara 32 kali, Selangor dilihat berpeluang cerah mara ke suku akhir apabila berkongsi 10 mata dengan Pahang yang juga dijangka tidak berdepan masalah menewaskan T-Team dalam satu lagi aksi kumpulan.

Begitupun, skuad kendalian Irfan Bakti masih belum boleh berasa selesa memandangkan pasukan di tangga ketiga, Sarawak yang mengutip tujuh mata mampu menafikan hasrat Selangor jika menang besar di Stadium Shah Alam malam ini.

Aksi suku akhir yang akan diadakan secara timbal balik dijadualkan berlangsung pada 28 September ini dan 5 Oktober depan, separuh akhir (8 dan 12 Oktober) manakala pentas final dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam, 20 Oktober depan.

Jadual itu begitupun akan dipinda sekiranya Kelantan berjaya mara ke saingan separuh akhir Piala AFC 2012 dan jika The Red Warriors layak, suku akhir kedua kempen akan diawalkan pada 1 Oktober manakala aksi separuh akhir pula dipinda ke tarikh 5 dan 8 Oktober depan.

Justeru, pasukan mana yang mampu menjadi lapan pasukan terbaik dalam kempen kali ini, sama-sama kita saksikan malam ini.