Langkah akhir Forlan?

PENYERANG Uruguay, Diego Forlan yang kini berusia 33 tahun, 17 tahun di kancah bola sepak utama di Argentina, England, Sepanyol, Itali dan kini Brazil pernah membawa pasukannya ke tempat keempat dalam Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan sekali gus membawa pulang anugerah Bola Emas selaku pemain paling menyerlah. Bagaimana pula dengan Brazil 2014?

SOALAN (S): Apakah kepulangan anda ke Amerika Selatan memberi makna kepada anda?

DIEGO FORLAN (DF): Setiap negara mempunyai situasi berbeza. Selepas sepuluh tahun berada di Eropah dan nampaknya bagi saya sudah tiba masanya untuk berubah dan selepas pengalaman beraksi di Itali dan pernah menyertai kelab Sepanyol dan England, saya rasa karier saya menghampiri fasa akhir.

S: Adakah ini bermakna tiada lagi cabaran buat anda di Eropah.

DF: Saya tidak melihatnya seperti itu. Saya menempuhi sepuluh tahun yang hebat di sana meskipun ada ketikanya saya jatuh, seperti jarang beraksi di Inter Milan. Saya menerima tawaran untuk beraksi di sana tetapi saya diberi peluang menyertai kelab hebat untuk menyertai liga kompetitif dengan kontrak selama tiga tahun. Jika tidak pun, ia juga bermakna saya kini lebih rapat dengan rumah, keluarga dan rakan. Pelbagai faktor mendorong saya untuk kembali.

S: Adakah anda fikir akan kembali semula ke Eropah?

DF: Secara jujurnya, ketika ini saya tidak terfikir mengenai Eropah atau ke mana-mana. Saya berusia 33 tahun dan saya mahu bermain selama mungkin tetapi saya tidak tahu bagaimana keadaan saya pada usia 36 tahun.

S: Tidakkah anda terfikir untuk bermain di Uruguay?

DF: Tidak, hakikatnya tiada siapa tahu saya kembali ke Amerika Selatan kerana tawaran Inter itu dirahsiakan sehingga selesai dan itu bermakna pasukan Uruguay tidak terfikir pun mengenai saya.

S: Apa yang menarik anda untuk menyertai liga Brazil?

DF: Ia satu liga yang sukar dengan enam atau tujuh pasukan merebut empat tangga teratas. Kualiti bola sepaknya amat bagus, anda mempunyai pasukan yang besar serta pertemuan setempat yang hebat. Ia satu cabaran yang menakjubkan.

S: Kita beralih kepada bola sepak kebangsaan. Apa pandangan anda mengenai prestasi Uruguay ketika Sukan Olimpik London 2012?

DF: Ya, memang jelas apa yang sudah berlaku tetapi itulah bola sepak. Saya tidak main-main apabila berkata tahap permainan semakin seimbang dan kami mengalami kesukaran dalam tiga perlawanan utama. Lihat saja pada Emiriah Arab Bersatu. Kami berjaya menewaskan mereka tetapi mereka mengawal bola dan banyak mencipta peluang dan usah lupakan juga Senegal yang pantas, kuat dan juga sebuah pasukan yang mempunyai teknik hebat yang berjaya menjaringkan gol meskipun beraksi dengan sepuluh pemain. Sukar untuk mendapatkan keputusan yang mudah dijangka ketika ini.

S: Apakah layak menyertai Piala Dunia 2016 menjadi objektif terbesar anda ketika ini, selepas memenangi Bola Emas pada Piala Dunia Afrika Selatan 2016, menjulang Copa America 2011 dan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman di negara anda?

DF: Tidak syak lagi tetapi saya bukannya seseorang yang perlu meletakkan objektif sepanjang masa untuk kekal bermotivasi. Saya sukan berlatih, bermain dan menyara hidup dengan kerjaya ini. Selagi saya masih bersemangat seperti sekarang, cabarannya akan terus dihadapi.

S: Anda mungkin menjadi pemain terbaik kejohanan sekali lagi di Brazil.

DF: Pertama sekali, anda perlu layak. Kemudian saya perlu terpilih, bermain dan menang perlawanan. Perkara paling utama mengenai anugerah itu adalah anda tidak perlu mencarinya. Ia kini sebahagian daripada sejarah.

S: Anda katakan mahu bermain selama mana yang boleh. Adakah anda takut untuk bersara?

DF: Sudah tentu tidak. Saya tahu lambat laun ia akan berlaku tetapi ketika ini saya mahu menikmati semuanya. Saya berhasrat untuk terus berkecimpung dalam bola sepak dan banyak cara untuk melakukannya biarpun saya masih tidak tahu atas kapasiti apa. Satu perkara yang pasti adalah ini bukan masa untuk berhenti dan berfikir mengenainya.