Koo dan Tan terus berganding atau dipisahkan?

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) masih gagal memberikan kata putus sama ada mahu mengekalkan beregu utama lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong atau sebaliknya.

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan (C&T) BAM yang berlangsung selama hampir enam jam di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam, badan induk itu masih belum memutuskan nasib Kien Keat-Boon Heong.

Sebaliknya, jawatankuasa terbabit mahu mengadakan perjumpaan terlebih dahulu dengan juara Kejohanan Seluruh England 2007 itu sebelum mengusulkan cadangan kepada ahli majlis BAM yang dijadualkan bermesyuarat pada pertengahan bulan ini.

Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata, beliau telah memperoleh banyak cadangan daripada barisan jurulatih negara pada mesyuarat C&T semalam dan hasil perbincangan tersebut, akan diserahkan kepada ahli majlis BAM sebelum kata putus mengenai status Kien Keat-Boon Heong ditetap- kan.

“Kita telah mengadakan perbincangan dengan jurulatih-jurulatih negara mengenai kebaikan dan keburukan, sama ada kedua-dua pemain itu (Kien Keat-Boon Heong) dikekalkan bersama atau dipisahkan.

“Namun, kami harus terlebih dahulu bertemu dengan mereka dalam masa terdekat. Mereka telah memberi banyak sumbangan kepada negara, jadi lebih baik kami berbuat demikian.

“Setiap cadangan yang dikemukakan pada mesyuarat hari ini (semalam) akan dibawa kepada ahli majlis BAM dan segala-galanya akan diputuskan selepas mesyuarat dengan ahli majlis BAM itu nanti,” kata Chin Chai pada sidang media selepas yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Bagaimanapun, Chin Chai mengesahkan bahawa bekas beregu No. 1 dunia itu masih berada dalam radar skuad elit negara sekurang- kurangnya untuk empat tahun lagi.

“Mereka berdua masih berada dalam senarai pemain, sama ada untuk tempoh jangka pendek dan jangka panjang.

“Namun, status mereka masih belum diputuskan sehingga keputusan dibuat oleh ahli majlis BAM nanti. Jadi kita masih belum tahu sama ada mereka akan beraksi bersama sebagai satu pasangan atau bersama pemain lain,” jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Besar BAM, Kenny Goh mendedahkan, Kien Keat-Boon Heong pernah memberitahunya bahawa mereka sanggup dipisahkan jika ia dianggap keputusan terbaik untuk skuad negara.

“Sebelum ini, mereka pernah memberitahu mahu kekal bersama tetapi jika BAM mempunyai perancangan yang lebih baik, mereka sanggup mempertimbangkan (untuk dipisahkan).

“Terlalu banyak spekulasi yang tersebar ketika ini dan jika kami bertemu dahulu dengan mereka, ia dapat memberi kami peluang untuk menjelaskan kepada mereka mengenai kelebihan atau keburukan jika mereka bersama atau dipisahkan,” katanya.