Kontrak Peter Butler ditamatkan

Jurulatih Terengganu, Peter Butler bukan sahaja digantung selama enam bulan, malah telah ditamatkan kontraknya yang masih berbaki 15 bulan.

Peter Butler yang telah dimaklumkan secara bertulis oleh Terengganu FA semalam bahawa beliau telah digantung dan didenda turut dimaklumkan kontraknya ditamatkan.

Menurut laporan akhbar pada hari ini juga, kontrak seorang jurulatih boleh ditamatkan jika beliau digantung selama sebulan atau lebih.

Ini adalah cara untuk menjimatkan kos untuk memecat jurulatih itu memandangkan beliau masih mempunyai 15 bulan dalam kontraknya.

“Hal ini sama seperti apa yang berlaku kepada Mat Zan Mat Aris dimana beliau telah direhatkan.

“Mat Zan telah dituduh tidak hadir menjalankan tugas apabila waktu rehatnya tamat dan seterusnya beliau ditamatkan kontrak. Pada masa yang sama Butler telah dilantik sebagai jurulatih,” kata sumber tersebut.
Walaubagaimanapun, Butler menegaskan bahawa beliau tidak akan berdiam diri dan akan tetap memperjuangkan haknya.

“Saya akan bertemu dengan peguam saya untuk meminta nasihatnya.

“Saya akan memberi peluang kepada mereka untuk selesaikan perkara ini secara berhemah dan mengikut peraturan dengan persetujuan kedua-dua pihak.

“Jika mereka enggan, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.” kata Butler.