Kien Keat-Boon Heong tetap bersama sehingga tahun depan

TEKA-TEKI berhubung masa depan beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong akhirnya terjawab.

Semalam, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh mengesahkan bahawa beregu No. 8 dunia itu akan dikekalkan sehingga Kejohanan Dunia tahun depan.

“Begitupun, keputusan itu adalah dengan bersyarat. Mereka (Kien Keat-Boon Heong) perlu mencapai sasaran yang kami (BAM) letakkan iaitu mara sehingga ke final Kejohanan Dunia tahun depan.

“Jika gagal, mereka akan dipisahkan,” kata Nadzmi ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Sebagai rekod, Kien-Boon He- ong yang merupakan juara Seluruh England 2007 pernah mara ke final Kejohanan Dunia 2010.

Menurut Nadzmi, keputusan tersebut dibuat berdasarkan maklum balas yang diterima daripada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM dan hasil persetujuan barisan ahli Exco badan induk itu.

“Kami menerima banyak pendapat berhubung isu Kien Keat-Boon Heong ini. Namun, hasil perbincangan dengan barisan Exco, kami membuat keputusan untuk memberi peluang kedua kepada mereka.

“Lagipun, Kien Keat-Boon Heong sendiri yang meminta diberi peluang kedua dan bersedia dengan cabaran untuk mara sehingga ke final Kejoha- nan Dunia tahun depan,” jelas Nadzmi.

Beliau berkata, pada masa sama, Kien Keat-Boon Heong akan turut digandingkan dengan pemain lain dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Sebelum ini, masa depan bekas beregu No. 1 dunia itu mula mencetuskan tanda tanya ekoran kegagalan mereka meraih sebarang pingat pada Sukan Olimpik 2012 di London termasuk bergelut dengan prestasi tidak menentu sepanjang dua tahun kebelakangan ini.

Situasi itu sekali gus menyaksikan segelintir pihak dalam BAM mendesak agar kedua-dua pemain itu dipecahkan dan digandingkan dengan pemain muda.

Malah, Pengerusi CTC, Ng Chin Chai telah mengadakan perjumpaan dengan Kien Keat- Boon Heong bagi membincangkan mengenai masa depan mereka sebagai pasangan beregu.

Hasil perjumpaan tersebut, Kien Keat-Boon Heong dilaporkan rela berpisah biarpun sudah enam tahun mereka bergandingan.