Kenyataan personaliti TV3 jejas reputasi Bintulu

KUCHING – Pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Seri Tiong King Sing berkata kenyataan pengacara TV3 semasa lintas langsung sambutan Hari Kemerdekaan di Kuala Lumpur pada Jumaat lepas telah menjejaskan reputasi Bintulu.

 
Beliau berkata kenyataan pengacara Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain bahawa Bintulu adalah sebuah kawasan daif bukan sahaja menyinggung perasaan rakyat di kawasan itu tetapi juga Sarawak dan dengan itu beliau meminta stesen televisyen itu segera memohon maaf secara terbuka.
 
“Kenyataan ini dibuat semasa lintas langsung yang ditonton oleh jutaan rakyat yang telah menjejaskan (reputasi) Bintulu. Ia memberikan tanggapan salah mengenai Bintulu yang selama ini telah menyumbang berbilion ringgit kepada pendapatan negara,” katanya kepada Bernama di sini malam ini.
 
Tiong yang juga anggota Parlimen Bintulu berkata tidak sepatutnya wujud kesangsian mengenai pemilihan Bintulu sebagai pusat sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 Sept kerana ia mempunyai keupayaan untuk menjadi tuan rumah acara itu.
 
Bintulu ialah satu daripada kawasan di Sarawak yang mencatatkan pembangunan pesat dan menjadi pusat kepada aktiviti pemprosesan minyak dan gas, industri berteknologi tinggi dan sebahagian kawasan penting Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), katanya. – Bernama