Kelantan hanya mampu seri

MESKIPUN mencatat keputusan seri 1-1 dengan Arbil FC, namun misi  Kelantan untuk melayakkan diri ke separuh akhir saingan Piala Konfederasi (AFC) nyata terpadam apabila tewas  dengan agregat 2-6 ditangan Arbil FC dalam suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Pada saingan suku akhir pertama Selasa lepas,  Kelantan telah tewas 1-5 kepada juara empat kali Liga Premier Iraq itu.

Bagaimanapun, kesungguhan  yang dipamerkan anak buah Bojan Hodak wajar diberi pujian apabila mempamerkan aksi bertenaga untuk memberi saingan kepada pasukan pelawat.

Beraksi pada babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan dan bermain di hadapan penyokong sendiri, Kelantan bagaikan dirasuk apabila dilihat menguasi perlawanan dengan beberapa percubaan awal dihasilkan namun kekentalan kubu pertahanan Arbil FC gigih menahan asakan tuan rumah.

Malah tuan rumah nyaris mendahului kedudukan menerusi percubaan Muhammad  Afiq azmi namun turut berjaya dikekang pertahanan anak buah Nizar Mahrous.

Tersentak dengan serangan tuan rumah,  Arbil FC  mula mengatur strategik untuk melancarkan serangan balas  namun  gagal dilaksanakan dengan baik untuk mencipta jaringan.

Bagaimanapun kesungguhan pasukan pelawat dalam memburu gol pertama akhirnya tertunai menerusi Sula Matuvo pada minit ke-36 untuk mendahului kedudukan 1-0.

Memasuki pertengahan babak pertama perlawanan, pasukan tuan rumah yang sesekali melancarkan serangan untuk merapatkan jurang kedudukan terus  gagal menembusi kubu pertahanan kem pelawat.

Bersambung babak kedua perlawanan menyaksikan pasukan pelawat memperkemaskan corak permainan dengan aksi yang lebih tersusun.

Malah percubaan pemain Arbil FC jelas mencemaskan kem tuan rumah, namun tandukannya melepasi tiang gol.

Begitupun pasukan Kelantan tidak kurang aksinya apabila bangkit melakukan serangan dan hampir mengejutkan pasukan pelawat apabila tandukan Piya berjaya didakap kemas penjaga gol Arbil FC.

Perlawanan semakin sengit apabila kedua-dua pasukan saling mengasak kubu masing-masing dan kesilapan pertahanan Arbil FC membawa padah apabila memberi peluang kepada Kelantan untuk menjaringkan gol penyamaan.

Akhirnya, Mohammad Ghaddar menyelamatkan maruah Kelantan di halaman sendiri apabila menjaringkan gol penyamaan 1-1 menerusi sepakan penalti pada babak akhir perlawanan.

Meskipun tewas, jaringan tersebut nyata menceriakan penyokong yang hadir memberi sokongan.

Highlight