Kedah perlu menang untuk layak

KEDAH tidak mempunyai pilihan selain mencatat kemenangan ke atas juara Liga Super, Kelantan di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini bagi menghidupkan peluang ke suku akhir Piala Malaysia.

Bagaimanapun, misi itu tampak sukar bagi skuad Hijau Kuning kerana Kelantan dilihat semakin ‘bernafsu’ lebih-lebih lagi selepas menundukkan juala Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu lalu.

Skuad bimbingan Bojan Hodak itu sudah pasti mahukan kemenangan setelah berkongsi tujuh mata dengan ATM selepas empat perlawanan dengan Kedah hanya meraih empat mata hasil satu kemenangan dan sekali seri.

Bagaimanapun, bagi barisan pemain Hijau Kuning, mereka bertekad mencapai kemenangan biarpun sedar tentangan sengit The Red Warriors yang mahu mengesahkan slot lebih awal ke suku akhir.

Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar bersama rakan-rakan sepasukannya nekad untuk mempamerkan aksi terbaik dan konsisten sepanjang perlawanan itu bagi memastikan mereka tidak ‘tutup buku’ lebih awal.

“Pertemuan ini adalah antara hidup dan mati. Sekira menang, (Kedah) masih ada peluang (ke suku akhir), namun jika keputusan sebaliknya, kami terpaksa melupakan saingan Piala Malaysia lebih awal.

“Para pemain dituntut bangkit pada perlawanan penting ini. Lupakan kesilapan dan kekalahan lalu tetapi buka buku baharu dengan tekad meraih kemenangan,” katanya.

Tambahnya, bimbingan dan strategi jurulatih, Mario Tot diyakini mampu merencana kemenangan bagi pasukan yang bertekad mengembalikan kepercayaan peminat setia skuad Hijau Kuning.

“Diharapkan peluang jaringan diterjemahkan dengan baik. Pemain tidak usah berpuas hati ketika mendahului lawan dengan jaringan dan tidak berputus asa apabila ketinggalan.

“Kelekaan boleh membawa padah dan kesilapan juga boleh mengundang bahaya kepada pasukan,” katanya.