Jumlah pasukan Piala Malaysia 2013 diputuskan Oktober ini

PETALING JAYA – Cadangan penyertaan 26 pasukan untuk bersaing pada Piala Malaysia bermula musim depan berbanding 16 pasukan sekarang akan diputus menerusi mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bulan depan.

Ketika menjelaskan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya masih menunggu pandangan daripada beberapa persatuan bola sepak negeri dan kelab sebelum dapat melaksanakan cadangan tersebut.

“Sehubungan itu, saya masih tidak boleh memberikan keputusan mengenai cadangan tersebut sehinggalah diputuskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dijangka bersidang pada bulan depan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan hampir empat jam di Wisma FAM di sini hari ini.

Pada majlis undian Piala Malaysia yang berlangsung  2 Ogos lepas, Naib Presiden FAM Datuk Afandi Hamzah dilaporkan sebagai berkata FAM akan menukar format Piala Malaysia bermula musim depan yang bermatlamat memberi peluang kesemua 26 pasukan dalam Liga Malaysia beraksi untuk merebut piala tersebut.

Bagaimanapun cadangan tersebut mendapat bantahan daripada beberapa bekas pemain serta jurulatih bola sepak tempatan yang bimbang bahawa pertandingan Piala Malaysia akan kehilangan standard serta kualitinya yang tersendiri.

Sementara itu, Hamidin berkata pemenang tempat ketiga Liga FAM iaitu UiTM FC akan menggantikan tempat wakil Pahang, Shahzan Muda untuk menentang wakil Negeri Sembilan, Betaria FC bagi mengisi slot terakhir ke Liga Perdana musim depan.

Beliau bagaimanapun berkata wakil kelab dari Pahang itu tidak menyatakan sebab-sebab penarikan mereka daripada perlawanan tersebut menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada FAM awal minggu ini.

“Perlawanan kalah mati melibatkan Uitm FC dan Betaria FC itu akan berlangsung samada di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ataupun Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 6 Okt ini bergantung kepada kekosongan stadium,” katanya.

Sebelum ini, wakil kelab dari Johor, MP Muar dijadualkan menentang Betaria FC untuk merebut slot terakhir ke Liga Perdana musim depan namun membuat keputusan untuk menarik diri pada saat-saat akhir selepas dikatakan berdepan dengan masalah kewangan.

Sementara itu, Hamidin berkata FAM akan menganjurkan seminar bola sepak Liga Malaysia 2013-2016 selama tiga hari bermula 22 Okt ini di Shah Alam bertujuan meningkatkan lagi prestij bola sepak liga tempatan.

“Seminar selama tiga hari bakal melibatkan semua jawatankuasa dalam FAM serta wakil persatuan bola sepak negeri dan kelab.

“Kita juga akan menjemput Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk terlibat sama dalam seminar ini yang diharapkan menjadi medan terbaik untuk mewujudkan satu liga yang benar-benar mantap,” katanya.- Bernama