Harimau Muda bersemangat

SEMANGAT skuad Harimau Muda bagi menghadapi baki saingan Liga Singapura (Liga S) musim ini dilihat semakin memuncak.

Hanya tinggal lima perlawanan sebelum Liga S melabuhkan tirainya musim ini, skuad kendalian Ong Kim Swee (gambar) pastinya berselera besar meneruskan momentum kemenangan apabila melayan kunjungan Balestier Khalsa di Stadium Yishun malam esok sebaik memadam cabaran pasukan tercorot, Woodlands Wellington 2-0, Sabtu lalu.

Biarpun rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam pusingan pertama Liga S tidak memihak kepada Harimau Muda apabila tewas 0-2 pada aksi di Stadium Toa Payoh pada 20 April lalu, Kim Swee enggan anak-anak buahnya ‘mengibarkan bendera putih’ sebelum berjuang.

Bakal tampil dengan skuad terbaik memandangkan pemainnya bebas daripada kecederaan serta penggantungan perlawa- nan malam esok, sudah tentu Kim Swee mahu pertembungan itu berakhir dengan kejayaan.

“Sudah lama rasanya saya tidak berada dalam situasi sebegini apabila majoriti pemain utama bebas dari kecederaan serta tidak menjalani apa-apa penggantungan perlawanan.

“Kedua-dua pasukan juga kini berkongsi 35 mata, jadi ia pasti- nya satu pertembungan yang cukup sengit,” kata Kim Swee semasa dihubungi Kosmo! di Singapura kelmarin.

Mengulas lanjut, Kim Swee membayangkan bakal mengekalkan kesebelasan utama seperti mana ketika berdepan Wellington tempoh hari termasuk Wan Zack Haikal Wan Nor, Gary Steven Robbat selain tonggak pertahanan, Mohd. Fadhli Shas yang kembali memperkuatkan Harimau Muda selepas selesai menjalani hukuman penggantungan perlawanan sebelum ini.

Persembahan rangkaian penyerang yang diterajui A. Thamil Arasu bersama Syahrul Azwari Ibrahim ataupun Ahmad Hazwan Bakri katanya, juga diharapkan mampu menjelmakan kemenangan yang cukup istimewa malam esok.

“Ketika ini, hanya Nazirul Naim Che Hashim sahaja yang mengalami kecederaan kecil, namun ia tidak begitu membim- bangkan. Jika ada perubahan pun, saya mungkin hanya menukar satu atau dua pe- main sahaja,” jelasnya.

Selepas menentang Balestier Khalsa malam esok, Harimau Muda bakal diuji Gombak United di stadium yang sama tiga hari kemudian.

Bagi aksi sepanjang Oktober pula, Hari- mau Muda akan membuat perhitungan dengan Hougang United di tempat lawan (20 Oktober) sebelum melayan kunjungan Geylang United empat hari selepas itu.

Mereka akan menutup tirai Liga S berdepan pendahulu liga, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar pada 1 November depan.