Gerrard ‘iktiraf’ Suárez aktor terbaik atas padang

LIVERPOOL – Kapten Liverpool, Steven Gerrard menganggap penyerang, Luis Suarez sering menjadi mangsa pengadil berdasarkan reputasinya yang dikatakan ‘kuat berlakon.’

Ini terbukti apabila , Liverpool tidak diberikan sepakan penalti ketika tewas 1-2 kepada Manchester United selepas Suárez diterjah oleh Jonny Evans dalam kawasan kotak penalti The Red Devils, Ahad lalu.

Situasi tersebut juga mengingatkan kembali apabila pemain kelahiran Uruguay itu dilayangkan kad kuning ketika menentang Sunderland selepas dikatakan ‘berlakon’ pada minggu lalu.

Meskipun kebenaran itu dibuktikan menerusi rakaman ulangan ketika menentang United, Gerrard percaya penyerang sensasi The Reds itu akan sentiasa ‘bergelut’ untuk mendapatkan keputusan yang telus daripada pengadil.

“Walaupun Suárez sepatutnya berhak diberikan sepakan penalti tetapi ia tidak akan berlaku.

“Ini kerana Suárez tidak akan pergi ke arah pengadil yang mana mereka sentiasa memandang serong kepadanya. Tugas pengadil adalah membuat keputusan berdasarkan apa yang mereka lihat.

“Sekiranya ia tidak harus diberikan sepakan penalti, kami tidak kisah tetapi kamu harus memberikan (sepakan penalti) memandangkan kebenaran sudah jelas di depan mata kamu.

“Apa yang kami mahukan adalah keadilan. Dia juga dilayangkan kad kuning ketika menentang Sunderland dan Suárez berhak diberikan penalti Ahad lalu.

“Dalam satu perlawanan kompetitif tinggi, pengadil harus memiliki satu keyakinan untuk membuat satu keputusan dan tidak boleh menilai berdasarkan rekod lalu. Inilah yang berlaku (ketika menentang United),” ujar Gerrard.

Dia menambah, Suárez tetap tidak akan mendapatkan sebarang perhatian daripada pengadil yang memberikan sepakan penalti kepada United selepas pemain sayap, Antonio Valencia dijatuhkan oleh Glen Johnson.

“Johnson langsung tidak menyentuh Valencia tetapi diberikan sepakan penalti dan saya jamin, sekiranya Suárez menghadapi situasi yang sama, dia tetap tidak akan mendapatkan sepakan penalti,” katanya.