Fandi Ahmad kecewa dengan LIONSXII

Bekas pemain Singapura, Fandi Ahmad kecewa dengan persembahan LIONSXII menentang Johor FC dalam saingan Piala Malaysia Jumaat lepas.

Walaupun keputusan 0-0 itu membawa LIONSXII dan Johor FC ke suku akhir, penyokong yang hadir di Stadium Jalan Besar terpaksa bertahan dengan aksi hantaran bola oleh kedua-dua pasukan di bahagian mereka sendiri selama lebih 30 minit.

Menurut akhbar TODAY, Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura, Zainudin Nordin walaubagaimanapun telah memohon maaf kepada penyokong kerana aksi separuh masa kedua yang mengecewakan.

“Saya tahu sebelum perlawanan Johor FC akan bertahan dan beraksi untuk mendapatkan keputusan seri,” kata Fandi kepada TODAY.

“Tetapi saya telah menjangkakan LIONSXII akan menyerang, mendapatkan gol awal dan kemudian seri dengan Johor FC. Keputusan menunjukkan yang sebaliknya dan saya kecewa LIONSXII memilih untuk bertahan.

“Saya faham pasukan hanya memerlukan satu keputusan untuk mencapai sasaran tetapi pada masa yang sama anda perlu mengambil kira kepentingan penyokong.

“Jika anda tidak menyerang, anda tidak akan menjaringkan gol dan penyokong beli tiket untuk menyaksikan jaringan gol. Dan di Johor saya tidak akan sesekali mengarahkan pasukan bertahan. Bagi kami, serang adalah permainan kami.”

Namun, Fandi telah memberi amaran kepada LIONSXII bahawa mereka akan bertemu saingan yang sukar menjelang suku akhir.

“Pahang bukan pasukan yang mudah diatasi walaupun mereka dari Liga Perdana.

“Mereka mempunyai pasukan yang muda dan kepantasan adalah aset mereka.

“Mereka tiada nama besar tetapi pemain mereka beraksi sepenuh hati. Dan mereka berani menyerang.” tambah Fandi.