FAM tolak permohonan Kelantan

Kelantan dalam dilemma apabila kehilangan beberapa pemain tonggak untuk persiapan saingan Piala AFC menentang Arbil SC 18 September ini.

Mengikut laporan akhbar The Star, permintaan Kelantan untuk mengecualikan pemain-pemain mereka, Khairul Fahmi Che Mat, S.Subramaniam, Shakir Shaari dan Norshahrul Idlan Talaha dari perlawanan persahabatan skuad Harimau Malaya dengan Vietnam telah ditolak oleh FAM.

Kelantan telah berharap untuk mendapatkan pemain-pemain itu bagi membuat persediaan menentang Arbil SC dalam suku akir Piala AFC 18 September ini.

Pasukan kebangsaan akan meninggalkan kem pada 12 September ini dan para pemain akan kembali ke pasukan mereka untuk perlawanan terakhir kumpulan Piala Malaysia pada 14 September ini.

Kelantan akan bertemu Terengganu di Kota Bharu pada 15 September dan akan berlepas ke Iraq sehari selepas itu tanpa berpeluang untuk menjalani latihan yang baik untuk Piala AFC.

Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim memberitahu bahawa mereka telah menghantar permohonan secara bertulis kepada FAM untuk mengecualikan pemain mereka tetapi telah ditolak.

“Kami telah menghantar permohonan rasmi kepada FAM tetapi telah ditolak jadi kami tiada pilihan lain,” kata Azman kepada The Star.

“Kami dalam situasi sukar sekarang dengan perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia dan juga selepas itu Piala AFC di Iraq.

“Kami tidak mampu untuk mempunyai pemain yang cedera lagi dan keempat-empat mereka itu semestinya keletihan selepas beraksi dengan Vietnam.

“Subra kini cedera dan kami hanya boleh berharap tiga pemain lain itu tidak cedera semasa perlawanan persahabatan itu nanti.” jelasnya.