FAM boleh bantu Peter Butler

PETER James Butler masih mempunyai ruang memperoleh keadilan sekiranya berasa dirinya teraniaya.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia ( FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pengendali Terengganu itu boleh merujuk kepada badan induk bola negara itu andai tidak puas hati berhubung hukumannya.

“Beliau harus diberi peluang oleh persatuan untuk merayu dalam tempoh tertentu. Namun andai selepas itu masih tidak puas hati barulah boleh merujuk kepada FAM menerusi Jawatankuasa Status yang diketuai Datuk Takiyuddin Hassan,” katanya semalam.
Menurut Hamidin, pengendali bangsa Inggeris itu boleh membawa ke mahkamah timbang tara.

Butler sebelum ini digantung enam bulan, denda RM4,OOO dan dipotong 15 peratus gaji bulan depan kerana membuat kenyataan kepada media mengenai masalah disiplin dua pemain dan insiden menolak penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Namun situasi makin mengelirukan apabila kontrak Butler mungkin ditamatkan berikutan syarat yang menyatakan beliau tidak boleh dikenakan hukuman gantung melebihi sebulan.

Insiden membabitkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) wajar ditangani dengan baik kerana turut membabitkan imej bola sepak negara dan Hamidin mengaku pihaknya memantau perkembangan terbabit.

Sementara itu, Hamidin yang juga pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM menegaskan beberapa peraturan baru akan diperkenalkan musim depan.

“Bermula musim depan mana-mana pasukan yang didapati tidak mempamerkan semangat kesukanan boleh dipanggil dan dikenakan tindakan,” katanya.