Butler beri kata dua kepada PBSNT

SELESAI cara baik atau jumpa di mahkamah! Itu kata dua jurulatih Terengganu yang baru dipecat, Peter James Butler kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Butler yang menyerahkan surat rayuannya kepada Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh semalam berkata, beliau sanggup duduk berbincang secara baik tapi turut rela menyelesaikan masalah penamatan kontraknya di mahkamah.

Jurulatih bangsa Inggeris itu berkata, beliau boleh membuktikan PBSNT silap apabila menamatkan kontraknya yang masih berbaki 15 bulan selepas dijatuhkan hukuman jawatankuasa tatatertib persatuan.

Bagi kesalahan bercakap kepada media tanpa kebenaran pengurusan mengenai masalah disiplin pemain pertahanan, Muslim Ahmad dan pemain tengah, Ismail Faruqi Ismail, jurulatih berusia 46 tahun itu dihukum gantung enam bulan dan didenda RM4,000.

Gaji bulan depan pula dipotong 15 peratus kerana tindakannya memarahi dan menolak Mohd Sharbinee Allawee Ramlie ketika penjaga gol itu keluar padang untuk digantikan dengan Sharmiza Yusof dalam perlawanan menentang Kedah di tempat sendiri awal bulan ini.

Jurulatih kelahiran Halifax, England, itu berkata, beliau sudah menyerahkan surat rayuan kepada PBSNT dan satu salinan surat rayuan itu juga diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Katanya, surat rayuan empat muka surat itu ditulis kerana berasa PBSNT tidak mempunyai asas cukup untuk mengambil tindakan dan hukuman diterimanya tidak adil.

“Sebagai contoh, saya digantung enam bulan kerana bercakap kepada media mengenai pemain tanpa kebenaran pengurusan sedangkan sebelum ini saya juga melakukan perkara sama tanpa dihukum.

“Ada lagi contoh lain yang saya kemukakan dalam surat rayuan itu dan berharap persatuan dapat menimbangkan semula keputusan dan saya pula dibebaskan daripada semua tuduhan,” katanya.

Butler yang juga bertemu dengan pegawai tertinggi T-Team termasuk pengurus pasukan, Rozi Mamat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, enggan mengulas spekulasi dilantik menjadi jurulatih dan pengurus pasukan berstatus kelab itu.

“Kenyataan pertemuan itu cuma boleh diberikan pegawai T-Team kerana saya diminta tidak bercakap mengenai perkara itu,” katanya.

Penolong pengurus T-Team yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Zainal Abidin Hussin pula cuma mengesahkan pertemuan itu namun menolak untuk memberi sebarang komen mengenai apa yang dibincangkan dengan Butler.

Namun pegawai pasukan yang enggan namanya diketahui, memberitahu pertemuan pertama membabitkan pegawai pasukan itu dengan Butler berjalan lancar.

“Tidak ada keputusan dibuat dalam pertemuan itu kerana ia cuma bertujuan mengenali jurulatih itu dengan lebih dekat lagi. Mereka yang hadir juga dikatakan kagum dengan penjelasan dan perancangan masa depan Butler untuk T-Team,” katanya.

Katanya, Butler juga menceritakan mengenai surat rayuannya kepada PBSNT dan ada yang berpendapat jika peluang diberikan kepada Butler untuk membersihkan namanya terlebih dulu.

“Apapun, mereka yang hadir dalam pertemuan itu tidak boleh membuat keputusan sebelum mendapat persetujuan kerajaan negeri terlebih dulu.

“Apa yang saya tahu, Butler kini menjadi antara calon untuk ketua jurulatih T-Team,” katanya.