Azraai akui kelebihan milik Tentera

NEGERI Sembilan mengakui Tentera memiliki kelebihan barisan pemain dan akur dengan kehebatan mereka menjelang pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium MP Selayang, 28 September ini, sebelum pertemuan kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada 2 atau 5 Oktober depan.

Antara pemain yang dimaksudkan ialah penyerang berbisa Marlon Alex James yang menjadi penjaring terbanyak saingan liga, selain bekas pemain Negeri Sembilan, Hairuddin Omar dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.

Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah, berkata Tentera memiliki lima pemain kebangsaan berbanding Negeri Sembilan hanya memiliki tiga pemain iaitu S Kunalan, Mohd Farizal Marlias dan Ahmad Shakir Md Ali.

“Saya tidak menafikan Tentera memiliki barisan pemain mantap dan seimbang di semua bahagian, selain lima pemain kebangsaan, mereka juga sudah menampilkan kehebatan dalam kempen Piala Malaysia setakat ini.

“Berbanding Negeri Sembilan, sekalipun dapat mempertahankan reputasi sebagai satu-satunya pasukan yang tidak tewas pada saingan kumpulan, ia tidak boleh dijadikan ukuran sebenar.

“Ini kerana saingan suku akhir lebih mencabar, apa tah lagi bertemu Tentera, pasukan berwibawa yang melakar sejarah muncul juara Liga Perdana musim ini,” katanya.

Menurut Azraai, bagi memastikan skuad bimbingannya melepasi halangan peringkat kalah mati itu, usaha memantapkan jentera pasukan diberikan perhatian selain mengingatkan pemain perlunya mereka lebih berhati-hati sebaik turun di Stadium MP Selayang nanti.

Pengendali berpengalaman itu tidak menafikan, penjaring terbanyak Liga Super, Jean-Emmanuel Effa Owona, menjadi taruhan pasukan merobek gawang lawan dan berharap dia dapat mengekalkan prestasi terbaiknya untuk membantu pasukan meraih kemenangan.