Amaran buat Harimau Malaya

KEKALAHAN 0-2 kepada Vietnam malam kelmarin seharusnya menjadi amaran buat Harimau Malaya dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki 2012.

Sebelum turun menentang Vietnam pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam itu, skuad Harimau Malaya memiliki rekod cemerlang dalam lima aksi persahabatan berstatus A sebelum itu.

Dua kemenangan dan tiga kali seri berjaya direkodkan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu dalam lima pertemuan tersebut.

Bagaimanapun, anak-anak buah Rajagobal gagal meneruskan momentum sedia ada apabila tewas mengejut di hadapan hampir 15,000 penyokong Harimau Malaya.

Kekalahan itu sekali gus ia menim- bulkan tanda tanya sama ada Harimau Malaya mampu mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki.

Kecenderungan Rajagobal yang sering melakukan eksperimen dalam skuad kendaliannya jelas tidak disenangi sesetengah pihak memandangkan kempen Piala AFF bakal berlangsung November depan.

Pada sidang media sejurus tamat perlawanan kelmarin, Rajagobal sekali lagi tampil dengan nada positif biarpun kelibat anak-anak buahnya lebih banyak dibayangi pasukan lawan.

“Kalah tetap kalah, tiada alasan yang mana Vietnam berhak meraih kemenangan itu memandangkan mereka bermain dengan penuh agresif.

“Namun, aksi persahabatan dan kejohanan sebenarnya berbeza. Kami masih berada di landasan terbaik dan tidak perlu panik dengan satu kekalahan ini,” kata Rajagobal.

Beliau menambah, kekalahan itu juga akan memberikan suntikan motivasi kepada skuad kendaliannya supaya berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

“Jika tanya kepada saya, ia sangat bagus untuk kalah. Saya tetap berpuas hati dengan persembahan barisan pemain, meskipun ketinggalan tetapi mereka masih memiliki mentaliti yang kuat untuk terus bersaing.

“Saya sudah nampak bayangan 35 pemain untuk saingan Piala AFF Suzuki nanti dan apa yang pasti, saya bersama barisan jurulatih yang lain harus memiliki keyakinan dalam usaha untuk mempertahankan status juara Piala AFF Suzuki.

“Dalam tempoh dua bulan ini, saya percaya kita masih berada di landasan yang tepat,” katanya.