Aksi positif pelapis badminton negara

BARISAN pemain pelapis harapan negara menunjukkan prestasi memberangsangkan di GP Emas Terbuka Indonesia yang berlangsung di Palembang, namun beberapa pemain yang menunjukkan prestasi baik di peringkat kebangsaan gagal mara ke pusingan kedua hari ini.

Mohd Arif Latif tiada masalah menundukkan Wirawan Ihsan Adam dari Indonesia, 21-14, 21-17 dan akan berdepan seorang lagi pemain tuan rumah, Arif Ramadhan hari ini, selepas pemain Indonesia itu mengatasi seorang lagi anak didik Hendrawan, Loh Wei Sheng 21-9, 21-19.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin juga melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan Ihsan Maulana Mustofa, 21-15, 21-6 untuk bertemu seorang lagi pemain Indonesia, Siswanto hari ini.

Mengikut jejaknya, Mohd Azryn Nur yang dipaksa bermain tiga set sebelum mengatasi pemain Korea Selatan, Ha Young Woong 21-13, 12-21, 21-17. Begitupun seorang lagi pemain Korea, Hoong Ji Hoon bakal menjadi lawan getir hari ini.

Goh Soon Huat yang juga cemerlang menundukkan Mahbub Thomi Azizan (Indonesia) 21-10, 21-9, dijangka tidak mempunyai masalah mengatasi seorang lagi pemain tuan rumah Reksy Aureza Megananda hari ini.

Prestasi membanggakan pemain pelapis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagaimanapun sedikit tercalar apabila pemain meningkat naik, Goh Giap Chin tewas kepada pilihan keenam dari Indonesia, Yunus Alamsyah.

Hari baik kem Malaysia dimeriahkan dengan kemaraan juara remaja Asia, Dunia dan Komanwel tahun lalu, Zulfadli Zulkifli ke pusingan kedua.

Zulfadli dari KLRC yang disenarai selaku pilihan ke-11 tidak mampu digugat pemain tuan rumah, Fikri Ihsandi Hadmadi apabila menang 21-16, 21-8 untuk berdepan Febriyan Irvannaldy (Indonesia).

Ketika negara sekadar menghantar pemain pelapis, Indonesia menurunkan barisan terkuat diketuai pilihan utama Simon Santoso, Dionysius Hayom Rumbaka, Sony Dwi Kuncoro dan Tommy Sugiarto manakala Jepun menyenaraikan pemain utama, Sho Sasaki yang menjadi pilihan kedua kejohanan.