Akmal Rizal mahu pulang ke Kedah

“SAYA yakin, saya masih mampu meneruskan karier saya,” kata bekas penyerang kebangsaan dan Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Walaupun bimbang berikutan masih belum mendapat tawaran daripada mana-mana pasukan,namun beliau masih mahu meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak.

“Saya sedang berehat, dan masa yang sama masih menanti tawaran dari mana-mana pasukan atau kelab,” jelasnya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Akmal Rizal menambah, sekiranya diberi peluang dia mahu beraksi dengan pasukan kelahirannya, Kedah.

“Saya mahu memberi sumbangan kepada negeri kelahiran saya,”kata AkmalRizal.

Beliau mengakui sepanjang perjalanan kariernya bersama skuad Seladang selama dua tahun itu cukup bermakna.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih terutama kepada pengurus pasukan, jurulatih serta pihak pengurusan yang telah menjaga segala kebajikan saya selama ini.

“Tidak lupa juga kepada penyokong-penyokong Perak yang tidak henti-henti memberi sokongan positif,”katanya lagi.

Akmal Rizal menyatakan bahawa dia telah pulih sepenuhnya dari kecederaan kemalangan yang dialaminya bulan lepas.

Akmal Rizal turut menyatakan beliau sedia menerima mana-mana tawaran sama ada untuk bermain di Liga Super mahupun Liga Perdana.

“Bagi saya kedua-dua liga ini tidak jauh beza, perkembangan bola sepak kita semakin maju, kedua-dua liga ini ada kelebihan masing-masing,”katanya.