Zaharulnizam nantikan kontrak Ryukyu

Pemain sayap Harimau Muda, Wan Zaharulnizam sudah bersedia untuk beraksi dalam Liga Jepun jika menerima tawaran.

Wan Zaharulnizam dan Wan Zack Haikal baru sahaja pulang dari Jepun selepas menjalani ujian selama 19 hari di Okinawa bersama kelab Divisyen 3 Liga Jepun, FC Ryukyu.

Kedua-dua mereka telah menarik perhatian pencari bakat, Japan Dream FA semasa perlawanan Kelayakan Olimpik tahun lepada menentang Jepun.

“Saya faham dan bersedia menghadapi kritikan kerana beraksi di dalam Divisyen 3 liga tetapi kita harus ingat Liga ketiga Jepun lebih baik dari kebanyakan Liga utama di rantau ini,” kata Wan Zaharulnizam kepada The Star.

“Kami telah diuji dalam beberapa perlawanan pendek sebelum beraksi dalam persahabatan tertutup. Saya memberikan yang terbaik dan para jurulatih kelihatan berpuas hati tetapi kami masih menunggu keputusan ujian itu.

“Pasukan itu bermain satu atau dua sentuhan seperti Harimau Muda tetapi lebih pantas. Saya rasa saya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri jika ditawarkan kontrak.” katanya lagi.

Zaharulnizam juga akui ujian di Okinawa itu telah memberi banyak kebaikan kepadanya dan dia yakin telah mempelajari banyak perkara ketika di sana.

“Saya rasa saya bernasib baik kerana dapat menjalani ujian di Jepun dan berlatih di Eropah. Saya kini faham dua gaya bola sepak,” tambahnya.

“Dedikasi pemain di sana telah membuka mata saya dan jika saya tidak dipilih menyertai FC Ryukyu, saya percaya ujian itu telah membuka peluang saya untuk sertai kelab luar negara yang lain.” – espnstar