Wan jamak letak jawatan

WAN Jamak Wan Hassan akhirnya melepaskan jawatan selaku Ketua Jurulatih Kedah selepas pelbagai spekulasi panas menimpa kem Hijau Kuning sejak pasukan tersebut tersingkir dari saingan Liga Super musim depan.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Wan Jamak berkata, beliau reda dengan apa yang berlaku namun pada masa sama berasa kesal berikutan masih banyak tugasan di Kedah gagal diselesaikan.

Menurutnya, banyak perancangan untuk membangunkan pasukan Kedah tidak dapat dilaksanakan disebabkan oleh prestasi semasa yang tidak konsisten dipamerkan oleh Kenari pada musim ini.

Kelmarin laman portal ESPN STAR.MY melaporkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Hamdan Mohamed Khaleb mengesahkan Wan Jamak telah pun meninggalkan kelab itu dengan cara baik.

Sebelum ini timbul spekulasi beliau telah dipecat selepas Kedah disingkirkan dari Liga Super.

Posisi tersebut diganti oleh jurulatih dari Croatia, Mario Tot bagi kempen Piala Malaysia pada 22 Ogos ini.