Van Persie perlu sertai United – Rooney

MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Wayne Rooney berharap pemain Arsenal, Robin van Persie akan menyertainya di Old Trafford.

Kapten The Gunners yang dianggarkan bernilai £20 juta (RM96 juta) itu menjadi sasaran utama pengurus United, Alex Ferguson pada musim ini.

Meskipun Arsenal dilaporkan tidak akan menjual van Persie kepada musuh tradisi namun United tetap menaruh harapan untuk mendapatkan khidmat pemain Belanda itu.

Rooney yang tidak menyembunyikan hasratnya untuk beraksi bersama van Persie berkata: “Sudah tentu, dia adalah pemain kegemaran saya. Van Persie merupakan pemain Arsenal yang sangat menakjubkan dalam beberapa tahun lalu.

“Musim lalu membuktikan keupayaannya selepas berjaya muncul sebagai penjaring terbanyak dan sekiranya dia bersama United, ia merupakan satu suntikan motivasi yang amat tinggi untuk skuad kami.

Ditanya mengenai siapakah pemain ideal untuk digandingkan bersama van Persie, Rooney berkata: “Mengenai hal tersebut kamu harus bertanya kepada pengurus.

“Kami memiliki ramai penyerang termasuk saya, Danny Welbeck, Javier Hernandez ‘Chicharito’ dan Dimitar Berbatov yang masih bersama dengan United.

“Jadi, ramai penyerang United bakal bersaing untuk mendapatkan tempat mereka dalam skuad utama.”

Van Persie mahu meninggalkan The Gunners ekoran gagal menjulang sebarang trofi bersama Arsenal sejak tujuh tahun lalu.

Rooney pula yakin van Persie tidak akan membuat kesilapan sekiranya memilih United yang berazam untuk merampas gelaran juara Liga Perdana England daripada Manchester City pada musim ini.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk kami kembalikan prestasi cemerlang.

“Kini, kami mahu menunjukkan kepada semua pihak bahawa United merupakan pasukan terbaik dan mampu memenangi semula liga.

“Menjuarai Liga Perdana England merupakan sasaran utama United pada musim ini,” ujar Rooney. – Agensi