‘Tiada tawaran rasmi buat Asraruddin’

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) menegaskan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada mana-mana kelab Eropah yang berminat mendapatkan pemain pertahanan mereka, Mohd. Asraruddin Putra Omar.

Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima tawaran ‘hitam-putih’ daripada kelab-kelab berkenaan.

“Buat masa ini, saya enggan mengulas lanjut me- mandangkan kami belum dimaklumkan secara rasmi berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Akhbar semalam melaporkan, Asraruddin, 24, kini berada dalam radar dua kelab Eropah iaitu pasukan daripada Liga Divisyen Lima Sepanyol, Internacional FC dan juga pasukan daripada Liga Divisyen Dua Portugal, OS Belenenses.

Tegas Hamidin, FAS hanya akan tampil membuat kenyataan sekiranya kelab-kelab tersebut telah mengemukakan permohonan rasmi untuk mendapat Asraruddin.

Menurut beliau, ia seperti mana pemergian bekas penyerang sensasi Selangor, Mohd. Safee Sali yang berhijrah ke kelab Indonesia, Pelita Jaya pada Februari tahun lalu.

“Saya mahu mengingatkan kepada mana-mana pemain supaya jangan cepat teruja,” katanya.