Skuad elit terancam

BEBERAPA pasukan pilihan mungkin terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada Piala Malaysia 2012 seandainya tidak bangkit mempamerkan taring sebenar berikutan beberapa keputusan mengejut yang terhasil dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan, malam kelmarin.

Juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan dikejutkan musuh Pantai Timur dalam Kumpulan B, Terengganu yang mencatatkan kemenangan 2-0, Negeri Sembilan yang juga juara bertahan pula terikat 1-1 menentang pasukan berstatus kelab, Felda United, kelab negara jiran LionsXII turut terikat tanpa jaringan menentang Johor FC selain juara 32 kali, Selangor tewas mengejut 1-2 kepada Sarawak.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah, situasi terbabit mencerminkan persiapan tidak sempurna dilakukan sehingga gagal meraih tiga mata penuh dalam aksi pembukaan yang dianggap penting dalam saingan Piala Malaysia.

“Seandainya ingin melangkah jauh, mereka perlu mempamerkan peningkatan selepas ini.

“Mungkin keadaan ini berlaku kerana terdapat pemain kebangsaan yang baru kembali bersama pasukan masing-masing namun mereka seharusnya bersedia untuk menghadapi sebarang situasi dan keadaan,” katanya.

Tambahnya lagi, pasukan terbabit tidak mempunyai pilihan selain mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan kedua malam esok sekiranya tidak mahu berdepan kesukaran dan terus ketinggalan dalam merebut dua tiket ke suku akhir yang ditawarkan dalam setiap kumpulan.

Namun bagi seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali, kegagalan beberapa pasukan pilihan mencatatkan kemenangan dalam aksi pembukaan adalah sementara selepas berehat panjang.

“Saya berasakan kejutan seperti ini hanya sementara dan tidak akan berterusan dalam perlawanan selepas ini. Saingan Liga Perdana Inggeris juga berlaku keputusan yang mengejutkan di awal musim. Mereka mungkin masih belum mendapat rentak yang sepatutnya dipamerkan,” katanya.