Serangan Man Utd Kembali ke tahun 1999

MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Alex Ferguson berharap rangkaian penyerang pasukan itu mampu mengulangi kehebatan skuad 1999 yang memenangi kejuaraan treble.

Ferguson menyuarakan keyakinan itu selepas melengkapkan perpindahan Robin van Persie ke Stadium Old Trafford, sekali gus menyertai Wayne Rooney, Danny Welbeck dan Javier Hernandez sebagai peledak berbisa United.

Pengendali skuad The Red Devils itu percaya keempat-empat penyerang tersebut mampu mengulangi pencapaian yang dilakukan Andy Cole, Dwight Yorke, Teddy Sheringham dan Ole Solskjaer 13 tahun lalu.

Ketika itu, United mendakap trofi Liga Juara-Juara selain muncul juara Liga Perdana England dan Piala FA.

“Sudah tentu ia sesuatu yang hebat apabila penyerang berkualiti seperti van Persie menyertai kami.

“Bergandingan bersama Rooney, Welbeck dan Chicharito, perasaan saya sama seperti mana pada tahun 1999.

“Yorke, Cole, Sheringham dan Solskjaer merupakan penyerang terbaik di Eropah ketika itu. Situasi tersebut seolah-olah berulang semula sekarang.

“Ia satu kelebihan buat saya, jadi saya harap saya dapat menentukan gandingan yang baik,” kata Ferguson.

Ferguson sebelum ini seolah-olah kecewa kerana gagal mendapatkan van Persie biarpun telah mengemukakan tawaran sejak beberapa bulan lalu.

Penantian Ferguson akhirnya berakhir minggu lepas apabila skuad The Gunners bersetuju melepaskan van Persie dengan harga £24 juta (RM118 juta).

“Saya gembira apabila misi kami untuk mendapatkan van Persie berakhir dengan kejayaan.

“Jadi, saya harap dia dapat diturunkan ketika menentang Everton dalam aksi pertama kami musim ini (awal pagi Selasa ini),” katanya. – Agensi