Sepakat halang LionsXII

LIMA belas pasukan tempatan perlu ‘bersepakat’ bagi memastikan piala paling berprestij dalam kancah bola sepak tempatan, Piala Malaysia tidak terlepas kepada pasukan jemputan dari Singapura, LionsXII.

Kelab dari Singapura yang sebahagian besarnya diwakili pemain kebangsaan republik itu hampir bergelar juara Liga Super sebelum terpaksa tunduk kepada Kelantan yang berjaya mempertahankan gelaran dan mereka pastinya memasang impian memburu piala terakhir yang dipertandingkan musim ini.

“Sudah pasti mereka akan menjadi pesaing pasukan lain. Mereka sudah membuktikan kemampuan dan kekuatan dengan bergelar naib juara Liga Super selain sejarah sudah membuktikan mereka adalah pasukan kedua paling berjaya dalam saingan Piala Malaysia selepas Selangor,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, baru-baru ini.

Beliau yang juga naib presiden badan induk bola sepak negara itu berharap pasukan tempatan memberikan saingan sengit agar Piala Malaysia tahun ini tidak dibawa menyeberangi tambak Johor selepas kali terakhir dibawa ke republik itu pada 1994.

Tambah Hamidin, hanya pasukan yang benar-benar konsisten akan menjulang Piala Malaysia kali ini walaupun sesetengah pasukan dikatakan berada dalam kumpulan sukar.

“Walaupun berada dalam kumpulan maut, tidak cukup jika sesebuah pasukan berjaya menempah tiket ke suku akhir kerana mereka perlu konsisten untuk melepasi saingan seterusnya sebelum beraksi di final. Setiap pasukan berpeluang menjadi juara apabila mampu mencatatkan kemenangan dalam mana-mana perlawanan walaupun lawan lebih kuat.”

Saingan Piala Malaysia 2012 bermula hari ini dengan Kumpulan B menjadi tumpuan apabila dianggap ‘kumpulan maut’ dengan kehadiran Kelantan, Terengganu, Kedah dan ATM manakala juara bertahan, Negeri Sembilan berada dalam Kumpulan C bersama Perak, Felda United dan Sime Darby.

LionsXII pula berdepan cabaran dua pasukan selatan tanah air, Johor dan Johor FC selain PKNS FC dalam Kumpulan A dengan juara terbanyak Piala Malaysia sebanyak 32 kali, Selangor mengetuai Kumpulan D bersama T-Team, Sarawak dan Pahang.