Selangor buat simulasi beraksi tanpa Amri

Shah Alam: Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim bercadang tidak menurunkan kapten, Amri Yahyah dan pemain sayap, Solihin Kanasian pada baki dua aksi persahabatan menentang FELDA United, malam ini dan Sime Darby FC, Khamis ini.

Ia sebagai simulasi menjelang saingan Piala Malaysia apabila Selangor tidak dapat menurunkan Amri yang digantung tiga perlawanan dan Solihin satu perlawanan pada aksi sulung Kumpulan D menentang Sarawak di Kuching, Rabu depan.

Turut tercicir, Bunyamin Umar yang akan menjalani penggantungan tiga perlawanan akibat melakukan kekasaran terhadap penyerang import Kelantan, Mohammed Ghaddar.

Bunyamin bersama-sama Safiq Rahim, penjaga gol Norazlan Razali dan penyerang pinjaman dari Sabah, Rozaimi Abd Rahman bagaimanapun kini masih di Austria bersama skuad kebangsaan dan hanya akan pulang ke tanah air, Khamis ini.

“Pada dua aksi persahabatan terakhir, saya takkan turunkan Amri dan Solihin. Memang masih terdapat jurang antara pemain utama dan simpanan tetapi saya akan usaha dalam sesi latihan mempertingkatkan prestasi mereka,” kata Irfan ketika ditemui selepas aksi persahabatan menentang Kedah di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Selangor dan Kedah seri 1-1 selepas sepakan percuma penyerang import Selangor dari Croatia, Bosko Balaban pada minit ke-30 berjaya disamakan Kedah menerusi tandukan See Kok Luen pada minit ke-59.

“Selepas kami berjaya menewaskan Johor FC 1-0 (Rabu lalu), perlawanan dengan Kedah ini cukup hebat dan dari sini saya dapat mengenalpasti beberapa kekuatan dan kelemahan pasukan menjelang saingan sebenar,” jelas Irfan