Sekeluarga tindih bayi sampai mati

BUKIT MERTAJAM: “Saya berasa pelik dan curiga apabila mereka semua berkurung dalam bilik itu sejak jam 2 pagi (kelmarin) tanpa makan, minum dan tidak buka (pasang) penyaman udara.

“Kami semakin hairan apabila suami saya dihalau dan dituduh sebagai hantu ketika cuba masuk ke bilik itu awal malam tadi (kelmarin),” kata ibu saudara kepada seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui mati dipercayai akibat ditindih beramai-ramai.

Dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bukit Minyak Indah, di sini, kanak-kanak perempuan berusia dua setengah tahun itu, Chuah Wan Xuan dipercayai mengalami sesak nafas apabila ditindih tujuh ahli keluarganya iaitu ibu, bapa, nenek, ibu dan bapa saudara, dua sepupu serta seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Mereka disyaki bertindak demikian ketika menyertai satu ritual atau upacara dalam sebuah bilik di rumah berkenaan yang dipercayai bertujuan menghalau hantu.

BERI KETERANGAN…anggota polis menyoal ahli keluarga mangsa

Menurut ibu saudara mangsa yang tidak mahu dikenali itu, sudah menjadi kebiasaan dia dan suami pergi ke rumah adik iparnya itu setiap petang untuk makan malam bersama.

Siasatan awal polis mendapati semua suspek kejadian tindih seorang kanak-kanak hingga meninggal dunia melakukan upacara pemujaan dan jampi tanpa diketahui sebabnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata, pihaknya percaya mereka melakukan upacara pemujaan hingga gagal mengawal diri sebelum sanggup bertindak demikian.


Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar termasuk menunggu laporan bedah siasat terhadap mangsa.


Katanya, lapan suspek yang terdiri keluarga mangsa dan pembantu rumah ditahan bagi membantu siasatan. “Ketika mangsa ditemui didapati mayat mangsa masih panas dan dipercayai baru saja meninggal dunia akibat sesak nafas,” katanya. Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Majistret Arif Mohamad Shariff membenarkan permohonan reman selama enam hari terhadap tujuh suspek yang dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, di sini pagi semalam.

Ibu mangsa pula yang dirawat di HSJ sejak semalam turut direman bagi tempoh yang sama selepas Arif ke hospital bagi mengeluarkan perintah tahanan reman terhadapnya.