Safee Sali sedia dipinjamkan

Penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali yang kini berehat daripada aksi Liga Super Indonesia telah menarik minat kelab-kelab Malaysia dan Thailand.

Dikhabarkan, beberapa kelab Liga Malaysia berminat untuk mendapatkan khidmatnya untuk saingan Piala Malaysia begitu juga kelab dari Thailand yang ingin meminjamnya.

Safee akui terdapat kelab di Thailand yang perlukan khidmatnya sebagai pemain pinjaman sementara Liga Indonesia sedang berehat dan hanya akan bermula awal tahun hadapan.

Menurut Safee, dia perlu beraksi sementara Liga sedang berehat untuk kekal cergas menjelang Piala AFF hujung tahun ini.

“Sehingga hari ini, saya masih menunggu tawaran dari mana-mana kelab atau pasukan yang memerlukan khidmat saya dan berharap keputusan dapat dicapai sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Amat penting untuk saya beraksi sepanjang tempoh rehat ini bagi mengekalkan tahap kecergasan dan mencari semula rentak permainan selain sebagai persediaan menghadapi Piala AFF hujung tahun ini,” kata Safee kepada Sinar Harian.