Presiden BAM Berang

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh menyifatkan desakan sesetengah pihak supaya beliau berundur lebih awal daripada jawatannya yang berakhir pada Mei tahun depan lebih kepada pendapat individu itu semata-mata.

Sebaliknya, beliau yang mengetuai barisan kepimpinan BAM sejak 2001 berkata, jawatan dalam badan induk badminton negara itu termasuk kerusi presiden yang disandangnya ketika ini ditentukan oleh anggota- anggota Majlis BAM yang mempunyai kuasa untuk melantik individu yang layak.

“Semua orang boleh memberikan pendapat masing-masing mengenai kedudukan saya selaku Presiden BAM.

“Saya mempunyai tempoh (untuk memegang jawatan Presiden BAM) sehingga Mei tahun depan dan biarlah ahli majlis yang menentukan kedudukan saya selepas ini.

“Malahan, saya turut memberitahu ahli majlis BAM bahawa saya tidak akan mempertahankan jawatan saya.
“Jadi, desakan sedemikian hanyalah satu pendapat semata-mata,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarah mendiang Datuk Punch Gunalan yang meninggal dunia di rumahnya akibat kanser pundi hempedu di Petaling Jaya semalam.

Nadzmi diminta mengulas mengenai desakan sesetengah pihak termasuk pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim baru-baru ini yang meminta beliau meletakkan jawatan lebih awal ekoran kegagalan sku- ad badminton negara mencapai sasaran ditetapkan pada Sukan Olimpik 2012 di London.
Pada temasya Olimpik yang berakhir Ahad lalu, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei gagal menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama negara selepas tumpas kepada musuh tradisinya dari China, Lin Dan di Arena Wembley, London.

Lebih mengecewakan apabila beregu lelaki negara, Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong turut gagal meraih pingat selepas tewas kepada pilihan utama dari Korea Selatan, Chung Jae Sung/- Lee Yong Dae dalam aksi pe- nentuan pingat gangsa.

Dalam perkembangan lain, Nadzmi berkata, BAM sebelum ini mencadangkan beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang sebagai tapak untuk membangunkan Akademi Badminton Negara berbanding Stadium Juara, Bukit Kiara.

“Yang menjadi masalah sekarang ialah untuk mendapatkan tapak tanah untuk membina bangunan akademi tersebut.

“Kita telah diberikan tanah untuk membangunkan akademi itu (sebelum ini), namun ia harus ditukar disebabkan beberapa faktor seperti tapak tidak sesuai serta kos pembinaan yang tinggi.

“Saya turut memberitahu Perdana Menteri (pada 12 Ogos lepas) bahawa cara termudah ialah dengan mengambil alih fasiliti yang terdapat di Stadium Juara, Bukit Kiara ketika ini.

“Beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) serta Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek) bersetuju dengan pandangan tersebut,” katanya.