PM mahu Chong Wei lakukan demi Malaysia

PEKAN 4 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei melakukan demi Malaysia dengan memenangi perlawanan akhir acara badminton perseorangan lelaki Olimpik London 2012 esok.

Perdana Menteri pada masa sama percaya Chong Wei sudah mempunyai cukup kekuatan dari segi mental dan emosi untuk menghadapi cabaran yang hebat daripada pemain China, Lin Dan.

Justeru, beliau optimis jaguh negara itu mempunyai peluang untuk membawa pulang pingat emas Olimpik yang pertama untuk Malaysia.

“Selepas Chong Wei menang, saya sempat ucap tahniah dan saya kata seluruh rakyat Malaysia akan memberi sokongan dan semangat yang kuat untuk beliau mencapai kejayaan.

“Saya kata kepada beliau, menanglah untuk Malaysia, lakukan untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat di sini hari ini.

Sementara itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang ditemui pada majlis berkenaan turut berharap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik berdoa demi kejayaan Chong Wei sekali gus menyumbang emas Olimpik pertama kepada negara.

Menurutnya, beliau akan berlepas ke London malam ini bagi menyaksikan perlawanan tersebut sekali gus memberi sokongan moral kepada Chong Wei dengan turut disertai isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

“Dari segi keupayaan, kedua-dua pemain itu setanding cuma Lin Dan dilihat pandai bermain psikologi.

“Tetapi tidak ada sebab untuk Chong Wei berasa rendah diri kepada Lin Dan. Yang mustahak kekuatan mental dan memberi tumpuan sepenuhnya serta komited untuk memberi yang terbaik,” jelasnya yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pemergian Rosmah ke London itu adalah bagi memenuhi janjinya kepada Chong Wei bahawa beliau akan ke sana sekiranya pemain badminton negara itu berjaya ke peringkat akhir.